Dalam satu bengkel pendidikan yang pernah dijalankan, kami menerima edaran
yang menyenaraikan 71 tugasan guru dengan makluman bahawa masih banyak lagi
tugasan yang tidak dimasukkan di dalam senarai tersebut. Melihat kepada senarai
yang tersedia, ditambah dengan sistem pentaksiran baharu (Pentaksiran
Berasaskan Sekolah (PBS)) yang mula dilaksanakan pada Januari 2011 di peringkat
sekolah rendah dan 2012 di peringkat sekolah menengah, beban tugasan guru
nampaknya semakin berat dan menekan.
Pada dasarnya, pelaksanaan PBS adalah transformasi pentaksiran yang
dilaksanakan di peringkat pengajian rendah dan menengah dalam usaha
mengurangkann orientasi pendidikan menjurus kepada peperiksaan semata-mata
kepada orientasi yang bersifat lebih holistik meliputi akademik dan bukan
akademik yang menilai aspek kognitif
(intelek), afektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani) pelajar. Dalam
PBS, guru diberikan autonomi daripada merancang, membina, mentadbir, memeriksa
sehingga melapor penilaian terhadap pelajar. Ini dibayangkan sebagai satu
langkah yang praktikal di mana guru sebagai individu yang berhubung secara
langsung dengan pelajar sewajarnya lebih memahami situasi dan kapasiti pelajar
terbabit. Maka penilaian yang dilaksanakan diharapkan lebih berkesan dalam
membangun potensi dan kemahiran pelajar. Dari sudut ini, PBS berkemungkinan
mampu menjadi alternatif sistem pentaksiran pendidikan masa depan dalam usaha
melahirkan manusia yang lebih berketrampilan, berdaya-saing serta
bertatasusila.
Walaubagaimanapun, wujud beberapa kritikan dan ketidakpuasan yang timbul
dalam pelaksanaan sistem ini. Antara yang paling mendapat perhatian adalah sistem
aplikasi web-based yang mengiringi pelaksanaan PBS ini dilihat menjadi
halangan untuk PBS berfungsi dengan baik. Rata-rata guru mengadu berkaitan
kesulitan yang mereka hadapi untuk mengakses sistem aplikasi yang telah
disediakan. Kesukaran ini menjadi tambahan beban kepada tugasan guru sedia ada.
Sehingga, tidak ada yang mahu membincangkan manfaat besar dari pelaksanaan PBS
ini ekoran kelemahan sistem tersebut.
Pernah saya ajukan pertanyaan kepada beberapa guru sama ada mereka
merasakan PBS mampu menggantikan sistem berteraskan peperiksaan serta mampu
menjadi alternatif dalam membangun pelajar secara holistik. Jawapan yang saya
terima sekadar rungutan berkaitan beban tugasan serta arahan demi arahan yang
diterima secara mendadak dan berubah-ubah dari pihak atasan. Ini menyebabkan
sebahagian guru ini tidak berminat untuk menjayakan sistem ini tapi sekadar
melaksanakan tugasan yang telah diberikan.
Keadaan ini menjadikan ramai yang tertanya-tanya, adakah sistem yang baik
tidak akan mampu dipraktikkan dan adakah selamanya sistem pendidikan itu
bersifat statik dan tradisi? Sebelum ini juga, telah banyak dasar dan pelan
pembangunan pendidikan yang cuba dilaksanakan namun hasilnya masih tidak
kelihatan dengan sebahagiannya gagal atau berhenti separuh jalan. Bagi kami,
keadaan ini sesuatu yang amal kritikal berikutan pendidikan adalah esensi utama
pembangunan manusia yang sangat perlu dititkberatkan.
Cadangan beberapa pihak supaya diwujudkan sekolah rintis bagi setiap dasar
baharu yang ingin dibawa supaya ujikaji awal keberkesanan dasar itu dapat
diperhati dan dianalisa. Dasar
pendidikan hendaklah bersifat gerak kerja terancang dan bukanlah semata-mata try
and error kerana yang dijadikan tikus makmal ini adalah khalayak manusia
yang memiliki masa depan yang panjang. Kegagalan dan masalah yang timbul ekoran
pelaksanaan semberono sistem dan dasar ini akhirnya akan memberi impak negatif
yang berlarutan pada masa akan datang.
Bagi saya, dalam usaha melahirkan pelajar yang memiliki ciri-ciri terbaik
intelek, emosi dan fizikal, individu yang memainkan peranan penting dalam
mencetak nilai-nilai tersebut dalam diri pelajar adalah insan yang sangat perlu
disantuni sewajarnya. Memahami isu bebanan tugas menjadi salah satu faktor
kurangnya keupayaan guru dalam memberikan kualiti pengajaran terbaik, sesuatu
mesti dilakukan segera. Perlu disedari, guru juga adalah manusia biasa yang
memiliki limitasi dan kekangan dalam menggalas tanggungjawab yang diberikan. Adalah
kurang adil dengan meletakkan pelbagai tugasan teknikal kepada guru, dalam masa
yang sama mengharapkan prestasi terbaik dalam memberikan didikan kepada
pelajar.
Menjadikan fokus profesionalisme perguruan dalam menentukan hala tuju
pelajar yang bakal dilahirkan mungkin antara kaedah terbaik yang perlu wujud
dalam dasar pendidikan. Lebih-lebih lagi jika PBS yang meletakkan autonomi
kepada guru dalam semua peringkat pentaksiran benar-benar mahu dijayakan. Mahu
tidak mahu, kerjaya perguruan perlu diperkasa dengan penekanan kepada
nilai-nilai sosial, intelektual dan sebagainya yang perlu wujud dalam diri guru
itu sendiri. Dalam penerapan nilai-nilai itu, mahu tidak mahu budaya dan
persekitaran positif di kalangan pendidik perlu disediakan. Terutamanya, beban
tugasan guru dari sudut teknikal perlu dikurangkan atau dihilangkan, supaya fokus
perguruan adalah semata-mata demi membangun potensi pelajar.
Guru perlu diberi ruang untuk berekspresi seluas-luasnya mendidik anak
bangsa dengan semaian benih komitmen bahawa menyebarkan ilmu bukan sekadar atas
arahan dan memenuhi keperluan kehidupan. Tetapi misi memanusiakan manusia ini
perlu mengambil kira keazaman dan kesungguhan yang tidak berbelah bahagi.
Komitmen sebegini biasa wujud dikalangan guru muda dan semakin berkurang dengan
pertambahan usia kerjaya di mana komitmen itu terpesong atas pelbagai faktor.
Walau tidak dinafikan masih ramai guru yang mahu memberikan yang terbaik buat
anak didik mereka. Cuma ruang dan peluang serta kaedah yang tersedia tidak
membantu ke arah tersebut.
Sebagai langkah awal, penggantungan sistem teknologi aplikasi PBS yang
merenyahkan dan diganti dengan sistem manual sedikit sebanyak meringankan beban
tugas guru. Namun, perlu diketahui seperti yang telah disebutkan di awal tadi,
bahawa masih banyak lagi tugas-tugas yang perlu digalas seorang guru.
Atas sebab itu, maka kajian menyeluruh beban tugasan guru perlu
dilaksanakan dengan kesedaran bahawa guru memainkan peranan penting untuk
mencorak generasi akan datang. Semak semula setiap dasar dan arahan yang mahu
dilaksanakan di peringkat sekolah dan guru adalah sangat penting bagi
memastikan tugasan utama guru untuk mengajar dan mendidik tidak terganggu
dengan tugasan-tugasan teknikal yang lainnya.
Amalina Binti Ismail
Exco Pendidikan dan Penyelidikan PKPIM Sesi 2013/2014
4 Disember 2013