Lama sekali tidak
mengenakan hijab merah jambu, warna ini memang kegemaran saya, namun, hitam
kekal pilihan saya dalam memilih warna menggayakan busana. Sempena hari
istimewa ini, saya sarungkan juga tudung merah jambu dari adik comel Alin.
(Terima kasih Alin, nanti akak pulangkan ye tudungnya)
Sebagai jawatankuasa
pendaftaran, kebanyakan masa saya di meja pendaftaran, menanda kehadiran,
mengutip yuran serta mengedar ‘beg program’. Namun, sedaya upaya saya mencuri
ruang dan peluang mengikuti setiap slot sepanjang himpunan. Serta mendekati
seramai mungkin ahli wanita jemaah dari seluruh negara.
Upacara perasmian
bakal berlangsung, maka kaunter pendaftaran di tutup sementara. Saya ukir
senyum manis dan meminta izin dari Kak Ju, ketua jawatankuasa pendaftaran untuk
turut serta mengikuti majlis perasmian di dalam dewan. Bila saja Kak Ju
menganggukkan kepala, pantas saya angkat punggung menuju pintu belakang dewan
yang perlu menaiki tangga ke tingkat dua.
Sudah ramai yang
memenuhi ruang di bawah dewan. Ruangan duduk di tingkat 2 masih punya banyak
ruang kosong, oleh kerana saya bersama Che Ah, seorang hewi dari delegasi Perak
yang menuntut di USIM, 2 tempat kosong yang mudah untuk masuk di perlukan.
Bacaan al-Quran
masih di alunkan. Syukur, baru bermula. Kami mengambil tempat. Giliran Dr
Rahmah pula memberikan kata aluan selaku pengarah program. Terimbau kenangan
gerak kerja sepanjang sebelum program ini bermula. Pasti, ada suka dan duka.
Bukan mudah melaksanakan program sebesar ini, melihat jumlah kehadiran yang
memenuhi tiap ruangan di bawah dewan menerbitkan rasa syukur tak terhingga
dalam diri. Jawatankuasa yang terdiri dari 3 generasi datang dari WADAH, ABIM
dan PKPIM, memerlukan daya toleransi dan kefahaman serta berlapang dada yang
tinggi. Ungkapan Dr Rahmah bahawa ‘yang muda perlu bersabar dengan yang tua,
dan yang tua perlu menyayangi yang muda’, begitu mengesankan saya. Sungguh,
walau kami baru mengenali, namun, rasa cinta seperti sebuah keluarga mendetik
dalam jiwa. Sungguh, menjayakan program sebesar ini bukan sekadar bilangan
adalah hasilnya tapi taaruf yang terakam sepanjang menjayakan program ini
merupakan hasil yang lebih-lebih mengesankan. Saya dan sahabat HEWI PKPIM
menjadi lebih matang mendepani jurang usia dalam melaksanakan gerak kerja. Moga
usaha ini mendapat redha dan barakah dari Allah s.w.t.
Seterusnya, saat
yang ditunggu-tunggu adalah ucaptama dari Dato’ Dr. Siddiq Fadzil. Saya begitu
teruja siap sedia memasang perakam suara. Memang tabiat saya merakam setiap
program yang saya hadiri jika berpeluang (walau jarang saya mengulang dengar).
Ucapan bermula menarik namun sedikit hambar bagi saya yang sering kali
mendengar bicara Ust Siddiq, barangkali kerana di pandu teks ucapan.
Namun, isinya
membina. Dimulakan dengan menyingkap sejarah fenomena ‘mini telekung’ era 70 an
serta karya-karya klasik yang mengangkat watak-watak hebat wanita. Seterusnya,
di sentuh kisah wanita dalam al-Quran dengan Maryam binti Imran yang menjadi ‘ayat’
atau tanda kebesaran Allah serta Asiah isteri Firaun yang diangkat menjadi
wanita yang teguh mempertahankan prinsip keimanan dalam lingkungan kesyirikan. Inti
utama mengulas panjang lebar pengorbanan Saidatina Khadijah sebagai seorang
isteri, pejuang agama yang meninggalkan kesenangan materi yang melingkari
hidupnya demi menyokong dan mendokong perjuangan Nabi Muhammad s.a.w. Serta
kisah Saidatina Aisyah, isteri Rasulullah yang cerdas yang berdepan ujian
fitnah. Saidatina Aisyah menjadi simbol kekuatan seorang manusia berdepan ujian
dengan redha dan sabar serta menjadikan Allah semata-mata sebagai tempat
sandaran dan meminta pertolongan. Sebelum berakhir, kisah wanita terlibat dalam
perjanjian penting baiatul aqabah menonjolkan peri penting peranan wanita dalam
sosiopolitik ummat. Akhirnya, Ust Siddiq, secara kritis dan sinis mengkritik
sistem feudal dan politik masakini serta meluahkan harapan agar berlaku
tranformasi dan taghyir dalam semua sudut kehidupan. Ternyata, ucaptama ini
begitu menginspirasi dan meningkatkan lagi semangat wanita jemaah.
Seterusnya,
penganugerahan dua tokoh wanita yang cemerlang dan berjasa dalam bidang
masing-masing. Ketika anaugerah Saidatina Khadijah di umumkan, ramai yang
merasa kagum dan terharu dengan kekuatan dan kecekalan luar biasa seorang
wanita yang tampil lembut namun keras berdepan mehnah dan cabaran. Biarpun ada
yang mempersoalkan, bagi saya siapa lagi yang layak untuk menerima anugerah
tokoh wanita dengan tinggi keperibadian dan akhlak yang setia di belakang suami
serta turut serta terjun ke lapangan ummat demi menegakkan kebenaran dan
keadilan.
Ketika mengumumkan
penganugerahan Saidatina Aisyah, hampir semua yang hadir mengalirkan air mata.
Malah Kak Dib yang membacakan biodata turut teresak. Saya turut menyedari Ust
Siddiq di sofa atas pentas mengesat air mata. Sungguh, pemergian seorang
pahlawan dikenang selamanya. Betapa kehilangan arwah begitu dirasai. Mereka
yang sama-sama berjuang dalam gerakan ini bersama-sama arwah pastinya tidak
dapat membendung air mata. Malah, saya yang hanya pernah bertemu arwah sekali
ketika menghadiri program turut tidak mampu menahan air mata dari mengalir.
Usai penyampaian, saya
bergegas keluar. Kaunter pendaftaran perlu di jaga, dan saya sedikit kaget
melihat begitu ramai yang hadir dan duduk bersila bersama anak-anak kecil di
atas permaidani berhampiran pintu masuk dewan. ‘Memang penuh dewan’, saya cuma berbisik di
dalam hati dan pantas menuruni anak tangga
ke meja pendaftaran.
Sesaat melabuhkan
punggung ke kerusi, bertali arus peserta datang untuk mendaftar. Beberapa kali
mengedipkan mata yang berair rasa terharu dengan majlis perasmian dan mengukir
senyuman pada wakil-wakil delegasi yang datang.