Pages

Tuesday, October 21, 2008

Last Day Lectures


Hari Khamis lalu (16 Oktober 2008) adalah hari terakhir bagi kebanyakan pelajar asasi semester ketiga sesi 2007/2008 menghadiri kuliah sebagai pelajar asasi. Tidak terasa tempoh setahun setengah yang berlalu begitu pantas. Tahun hadapan kami akan meneruskan perjuangan dalam meraih ilmu di fakulti yang menjadi pilihan masing-masing.


Sedih rasanya mengenangkan perpisahan yang bakal berlaku walaupun kami semua masih di UPM, suasana baru di fakulti pasti jauh berbeza semasa asasi. Terlalu banyak kenangan pahit dan manis yang telah kami lalui dalam tempoh singkat tiga semester ini. Malah persahabatan yang terjalin begitu membekas dalam hati.


Ramai dikalangan kami yang meninggalkan keluarga buat kali pertama ketika mula-mula menjadi pelajar asasi, tidak kurang juga yang sudah biasa hidup berjauhan dengan keluarga. Dari seluruh pelusuk tanah air kami saling berkenalan, mengenal dan memahami. Saling bantu-membantu, ingat-mengingati, tak kurang juga sakit-menyakiti. Dalam persahabatan yang terbina, kami menjadi lebih dewasa, menempuh hidup bersama, ketawa dan menangis, juga saling meluah rahsia hati dan resah yang ada. Biar apapun, sama ada luka yang ditoreh dalam atau kemanisan yang kekal terkesan, kita telah mencipta kenangan yang tak mungkin terpadam dalam sejarah persahabatan ini. Alangkah indah jika kita bisa bersama untuk selamanya!


Bagi saya, terlalu banyak yang telah saya temui dan pelajari sepanjang tempoh setahun setengah sebagai pelajar asasi, pelajar UPM mahupun pelajar universiti. Pengalaman yang sangat mendewasakan dan mematangkan diri. Kehidupan yang memberi seribu satu pengajaran yang membentuk diri, emosi dan rohani. Kadang-kadang merasa gentar untuk menghadapi masa depan yang pasti lebih banyak kejutan dan perkara-perkara yang di luar jangkaan.


Namun, masa depan akan pasti tiba dan masa lalu akan pergi meninggalkan kita. Biar apapun yang menanti kita, kita perlu tempuh dengan penuh berani dan optimis. Kehidupan bukan sesuatu yang indah andai ia hanya dipenuhi senyum dan tawa, kadang-kadang tangis dan sakit juga perlu untuk melengkapi warna pemandangan kehidupan agar lebih sempurna. Saya yakin, pasti masa depan akan lebih mencabar, lebih menguji emosi dan fizikal. Saya berharap tiada sesiapa dikalangan rakan-rakan seperjuangan dari asasi yang akan mengalah dan berputus asa. Yakinlah pada diri dan teruskan usaha demi mencapai impian dan cita-cita masing-masing.


Satu hari nanti bila kejayaan sudah dalam genggaman dan jubah graduan tersarung di tubuh, kita akan bertemu dengan senyuman penuh kepuasan. Segala jerih payah dan jatuh bangun sepanjang tempoh perjuangan ini akan terbang diganti rasa kebanggaan dan kesyukuran. Saya harap untuk bertemu rakan-rakan dari asasi kurang lima tahun lagi di perkarangan Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahudin Syah dengan gelaran siswazah dan bergambar bersama sambil mencampak topi graduan masing-masing. Saya menanti detik itu........


Hingga itu, kita akan meneruskan perjuangan yang belum selesai ini, doakan saya dan doa saya akan sentiasa mengiringi semua rakan-rakan. Semoga masa depan yang gemilang bakal menjadi milik kita...akhir kata; GAMBATTE!

Wednesday, October 15, 2008

Iftar Tour (Gambar)

Di Rumah Mak Cik Mi





Di rumah Dr. Azizan










Di Kolej Keris Mas UKM


Di rumah Kak Amirah












Iftar Tour


Selamat Menyambut Hari Lebaran!
Tidak terlalu lewat rasanya, kerana kita telahpun berada di pertengahan bulan.
Apapun inilah bulan untuk kita mempraktikkan segala latihan yang telah kita lalui sepanjang bulan ramadhan. Pastinya lebih sukar lagi kerana pada bulan ini, musuh nombor satu kita, iaitu syaitan tidak di belenggu.
Ini juga bulan memanjangkan ukhuwah dan silaturrahim. Bulan di mana kita saling maaf-bermaafan dan kunjung-mengunjung antara keluarga, sahabat, saudara mahupun jiran tetangga.
Jadikanlah bulan syawal ini juga satu rahmat dari Tuhan untuk meraikan kemenangan kita melawan hawa nafsu sepanjang bulan ramadhan. Maka, jangan sesekali dikalahkan oleh nafsu di bulan syawal, dengan makan berlebihan, saling khianat-mengkhianati, pembaziran dan sebagainya.

Ramadhan telah berlalu, namun keindahannya terus dikenang. Saya tidak berkesempatan untuk berkongsi kisah Iftar Tour kami sepanjang bulan ramadhan lalu. Bagi saya aktiviti ini sangat memberi impak yang besar dalam menghayati Ramdhan Al-Mubarak tahun ini.

Selain memperoleh pengisian dan pengalaman baru saban minggu, saya dapat mengenal dengan lebih ramai dan rapat para sahibah melalui aktiviti ini.Ukhuwah dan silaturrahim menjadi lebih kukuh dan berkembang. Apa yang pasti, kemeriahan ramadhan begitu terasa.

Iftar Tour bermula di rumah Dr. Wan Mohaizan di Sungai Merab pada petang khamis, 4 September 2008. Kemudian di rumah Mak Cik Mi pada hari Ahadnya, sementara menanti waktu berbuka, tazkirah ringkas di sampaikan oleh Pak Cik Taib. Ahad berikutnya, diadakan pula di rumah Kak Atiqah di Sungai Tangkas, dan Dr Azizan memberikan tazkirah ringkas. Pada sabtu, 20 September 2008 pula di Kolej Keris Mas, UKM, majlis berbuka puasa ini melibatkan sahabat dan sahibah HALUAN yang turut diserikan dengan juadah kari kambing akikah untuk anak lelaki sulung Dr. Azizan iaitu Muhammad. Tazkirah sebelum berbuka di sampaikan oleh Ustaz Noor Muhammad dan selepas berbuka dan solat maghrib diadakan pula penerangan tentang Sekolah Menengah Ibnu Khaldun, Sekolah Rendah Ibnu Khaldun dan Sekolah Rendah Ibnu Kathir yang memerlukan sumbangan untuk pembaikan dan pembelian tapak baru. Apa yang mengagumkan saya, lebih kurang 40 sahabat yang hadir berjaya mengumpulkan hampir RM 80000. Saya berfikir, fikrah Islam yang sejati telah mengisi hati-hati mereka untuk berkorban demi agama. Alangkah bagusnya andai setiap umat Islam mempunyai hati seperti mereka! Tour kami berakhir pada 23 September 2008 di rumah Kak Amirah, sahibah yang baru ku kenali ketika berbuka puasa di UKM. Rumah Kak Amirah terletak di Putrajaya. Di situ, kami mengakhiri Tour Iftar Ramdhan 1429 H.