Barangkali kerana cinta saya kembali ke sini. Masih tergambar cebisan kertas yang tertulis kata-kata apresiasi dari anak-anak perempuan seusia awal belasan tahun yang nyata suka dan bahagia dengan kehadiran kumpulan kecil kami mengajar bahasa Melayu dan Inggeris di perkampungan nelayan pesisir laut.
Juga anak-anak lelaki yang sedang riang bermain, berhenti lalu mengejar serta mengikuti kami bersiar-siar keliling desa menikmati alunan bayu laut dan damai penempatannya dengan kendera motosikal memuatkan kami seramai 6 orang.
Juga ketika saya memimpin tangan anak kecil yang menangis pulang ke rumahnya dan begitu gembira sepanjang perjalanan walau teman-teman lainnya kurang senang dengan sikap keanak-anakannya itu. Ah, bagi saya mereka memang anak-anak yang perlu perhatian dan belaian walau dipandang 'mengada-ada' sahaja! Saya bahagia dan jatuh cinta.
Maka berkali-kali hati menerpa mahu kembali, memandang anak-anak itu dan mimpi indah yang bisa terlakar dalam benak dan jiwa mereka. Saya resah dengan masa depan mereka yang sekadar mimpi ngeri atau samar bayangan. Kerana ternyata wilayah itu menabur seribu satu tragedi dan terselit kemelut yang sekian lama berpanjangan, entah bila mahu bertemu pengakhirannya.
Barangkali sebab hidup ini satu perjuangan, mereka teguh bertahan dan saya menimba pengajaran. Peluang untuk memahami kehidupan bukan sekadar hidup. Namun hidup dengan kecintaan untuk memberi dan berkongsi bahagia, harapan dan impian. Maka, dengan seribu satu halangan, saya aturkan sebuah pengembaraan sebagai pemula sebuah impian.
Patani Darussalam satu ketika dahulu adalah sebuah kerajaan Melayu-Islam yang terkenal dan hebat. Pada zaman kegemilangannya, wilayah itu pernah diperintah oleh ratu (raja perempuan) dan terkenal dengan pemilikan meriam besar Patani yang dibawa dari Turki sebagai salah satu pertahanan daripada ancaman luar.
Namun, tidak mudah mempertahankannya, dengan Siam bertalu-talu menyerang, akhirnya Patani jatuh jua ke tangan Siam dengan sebahagian wilayahnya (di semenanjung tanah melayu) dipisahkan dan tertakluk kepada British. Sehingga kini, Patani masih dijajah Siam (Thailand) dengan sebahagian wilayah yang tertakluk kepada British tadi mencapai merdeka dan menjadi sebahagian daripada Persekutuan Tanah Melayu (Malaysia).
Ketika kudeta yang berlangsung di Bangkok kini dengan tentera berkuasa dan perdana menteri ditahan serta darurat dikuatkuasakan seluruh negara, masyarakat dunia semakin gentar untuk merentas sempadan menuju wilayah selatan Thailand yang memang setelah sekian lama bertahun-tahun hidup dalam darurat, sentiasa dikawal dan diperhatikan.
Sesuatu yang tidak diketahui, sedang Bangkok dan kawasan-kawasan lain di Thailand diletakkan dalam keadaan darurat kerana rampasan kuasa oleh tentera baru-baru ini sahaja, sedangkan selatan Thailand yang merangkumi wilayah Patani, Yala dan Narathiwat menghadapi situasi yang sama sepanjang masa selama bertahun-tahun lamanya.
Ditambah lagi dengan pelbagai kes yang menafikan hak asasi manusia seperti pembunuhan, pengeboman, penyembelihan, penangkapan secara paksa, kehilangan serta lainnya yang didiamkan dan dipadam atau diputarbelitkan dalam pelbagai media di peringkat antarabangsa.
Malah di peringkat tempatan, di kalangan penduduk tiga wilayah itu sendiri tidak menyedari pencabulan hak terhadap mereka berlaku. Setiap tahun, bilangan anak yatim dan ibu tunggal semakin bertambah di samping pesatnya gejala sosial yang merosakkan seperti penagihan dadah dan jangkitan virus HIV.
Dalam seribu satu tragedi yang mengesankan emosi dan jiwa ini, beberapa individu yang punya kesedaran melalui pelbagai saluran merasakan nasib anak-anak ini mesti dibela. Mahu tidak mahu sokongan psikologi, motivasi juga pendidikan adalah sangat penting selain ekonomi dan materi. Sungguh, graduan segar seperti saya tidak punya wang ringgit selain jasad anggota untuk digerakkan dalam usaha ini.
Niat kami mudah, mendekati anak-anak Patani dan bersama-sama mereka mengharung cabaran dunia globalisasi yang mencabar ini. Mediumnya pelbagai, barangkali melalui program pendidikan bersifat akademik dan ilmiah, mungkin juga diskusi moral dan spiritual yang membangunkan jiwa atau gerak kerja komuniti dan aktivisme yang mengeratkan persaudaraan.
Segalanya, asal kehadiran kita dirasai mereka dan mereka menjadi sebahagian warga yang perlu disedari dunia kewujudannya serta hak mereka mempertahankan impian, harapan dan masa depan mereka tidak dipandang sebelah mata.
Niat yang mudah itu tidak semudahnya dipraktiskan dengan ketakutan yang melanda masyarakat dalam konflik selatan Thai, siapa saja yang berani menyeberang ke sempadan? Mahu bertemu anak-anak ini dan meraikan kewujudan mereka sebagai sebahagian daripada masyarakat dunia.
Siapa saja yang sanggup meluangkan masa, ke daerah bahaya ini dengan setiap kilometer perjalanan ada saja soldadu yang menjaga dan memerhati kereta? Siapa saja yang tidak gentar dengan pengeboman yang tidak kunjung reda yang mengorbankan penduduk tidak berdosa dan menyebabkan kecederaan kekal kepada ramai masyarakatnya demi menjaga kepentingan pihak tertentu?
Siapa yang mahu bertemu anak-anak yatim dan kehilangan tempat bergantung kerana pencabulan hak asasi manusia ini? Inilah persoalannya. Kerana tidak dinafikan soal bahaya yang mungkin kunjung tiba dan kematian itu milik semua.
Cuma, ada beberapa aktivis kemanusiaan yang kekal melaksanakannya bertahun-tahun dari usia muda, dan masih sihat walafiat sehingga hari ini. Malah saya dan teman-teman belum lagi bertemu sebarang kesulitan sepanjang perjalanan dan program yang dijalankan.
Keberanian dan kemahuan yang kuat itu diperlukan untuk melaksanakan sesuatu yang lebih besar dan bermakna. Sesungguhnya, daerah yang saya maksudkan ini, terlalu hampir dengan negara kita Malaysia yang aman, makmur, tenteram dan damai sentosa. – 29 Mei, 2014.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/kembara-harapan-ke-patani-narathiwat-dan-yala-amalina-ismail#sthash.af0rxBR5.dpuf