Saya masih ingat rasa yang saya alami saat selesai menonton filem 'Perempuan Berkalong Serban', ternyata saya masih gadis konservatif yang tak tega untuk mempertaruhkan isu agama dan status pesantren sebagai sebuah institusi pendidikan Islam untuk membentangkan permasalahan penindasan wanita,. Berkali-kali, saya membangkitkan pertanyaan apakah perlu menampilkan sisi buruk yang jelas-jelas tidak Islami sebagai menu utama dalam membahaskan persoalan tertindasnya seorang perempuan yang jelas masih keliru antara istilah tertindas dan dan rasa ingin bebas.
Jauh di sudut hati, saya meragui keihklasan cerita itu dibikin sama ada untuk mengangkat martabat perempuan atau sekadar menjatuhkan maruah Islam dari sudut pincangnya pendidikan tradisi ala pesantren yang menggambarkan ketidakrelevanan pendidikan Islam dalam era cabaran masa sekarang. Lantas menampilkan Islam sudah kolot dan tidak sesuai diguna pakai, dan liberalisasi Islam itu satu keperluan yang membutuhkan.
Maka melihat buku yang dipinjam sahabat serumah dari seorang sahabat (maaf saya masih belum berkesempatan meminta izin dari empunya bukunya, masih belum ada ruang untuk bertemu) tersadai di meja ruang istirehat rumah sewa menggamit saya untuk menyelak-nyelak. Ya, saya memang tidak berniat untuk mengulitinya dari ayat ke isi setiap helaian ekoran masih berhempas menyelesaikan thesis projek tahun akhir yang masih tidak selesai-selesai. Novel lebih 300 muka yang seakannya memapar pemikiran berat isu pluralis dan liberalis agama pastinya menuntut perhatian mendalam yang tak bisa saya penuhi saat ini.
Namun, saya tergoda juga untuk membaham kandungannya. Buku dengan sepuluh bab itu, saya baca berperingkat setiap selesai solat fardhu. Di cuba satu bab tiap kali selepas solat. Walau kadang-kala telat, dan kadang-kala tidak sempat. Masuk hari kelima, saya habiskan selepas subuh pagi ini, sebentar sebelum semula menghadap penulisan akademik thesis. Dan terus hati ditarik-tarik untuk mengetik papan kekunci melahirkan bicara di ruang blog yang begitu jarang di isi.
Rasanya, lama sekali tidak menulis ulasan, baik buku, mahupun filem/drama. Barangkali menampilkan betapa lama saya tidak serius membaca dan merenung falsafah di balik isi cerita. Sehingga menanggapi novel kecil dengan kulit depan hijau tua ini.
Isu pluralisme agama pernah saya fahami dari sudut jalur cerita Tuhan Manusia karya FT yang menampilkan persoalan dan pencarian sang adik yang keliru dan bengong dengan kemurtadan sang abang. Jujurnya, saya masih tiada kesempatan menatap buku-buku intelektual dan akademis yang khusus berbicara soal ini secara fakta yang benar. Hanya novel-novel yang berkisah yang sempat menyinggah pembacaan saya.
Bagi saya, sesuai seperti saya bercerita di awal tadi, di kulit depan buku ini, tercatit kata-kata menanggapi bahawa novel ini ternyata membuka pandangan yang berbeza dari filem perempuan berkalong serban yang mengangkat tinggi peranan pesantren sebagai institusi Ilmu sekaligus mengangkat pendidikan Islam ke martabat yang sewajarnya. Dan setelah selesai membaca, saya jadi senyum puas, dan persoalan dan kekeliruan tidak bergelumang dalam pikiran. Sebaliknya ada kobaran menyambung perbahasan dari Kemi 2 yang telah pun dibeli seorang sahabat.
Mengapa ianya jelas? Barangkali kerana rasa percaya yang dikukuhkan dengan yakin, juga kerana ternyata fitrah yang sememangnya ada dalam diri kita bersetuju atas setiap unjuran fakta dan perbincangan yang dibentangkan. Barangkali, penulisan dan ayatnya tidak begitu mengalir seperti karya-karya El-Shirazy, tapi ternyata, bahasa mudah dan perbahasan santai yang diaplikasikan memberi kefahaman yang lebih membekas.
Saya tidak terfikir untuk berbicara kandungan Kemi di sini, serasa bagi pembaca cerita, sudah tidak indah membaca jalur sebuah kisah jika sudah tahu isinya. Hanya, saya merasakan, ada perbahasan matang yang bisa difaham santai dan mudah tentang isu berat antara agama yang dipaparkan dalam 300 halaman. Di samping resepi indah penulisan kreatif yang menggarap rasa dalam cerita. Ya, saya kira novel ini cukup resepi dan enak sekali!
Dan ternyata, dalam teknik penulisan Islami yang saya pelajari di mana, watak-watak diberi peluang berubah dan bertaubat ke arah kebaikan adalah esensi terbaik dalam kisah ini. Bukankah setiap manusia itu berdosa sehingga dia bertaubat dan sesungguhnya sebenar-benar taubat itulah yang terbaik di sisi Tuhan.