Pages

Sunday, December 20, 2009

Cuti yang bakal berakhir



Saya merasakan masa berlalu begitu pantas. Enam minggu cuti semester bakal berakhir. Tirai cuti saya bakal berlabuh dengan melibatkan diri sebagai jawatankuasa untuk Program Menara Gading di UNISEL. Perkara yang tak mungkin saya lakukan pada hari-hari terakhir percutian saya. Ya, saya memang terpaksa. Namun saya positif dengan pemaksaan ini. Barangkali saya perlu bersedia untuk menghadapi pelbagai kemungkinan pada masa depan.


Cuti kali ini saya akui masih banyak saya habiskan dengan ‘tilam dan televisi’. Ya, itulah makna cuti saya yang sebenar. Saya merasakan ia waktu rehat untuk saya tidak perlu memikirkan urusan-urusan yang penuh dengan tanggungjawab dan tarikh luput. Ya, selama mana masa untuk saya ada lagi untuk menikmati cuti sebegini. Bila mengenangkan saya bakal kehilangan detik-detik ‘percutian’ yang sungguh mendamaikan ini, isu perkahwinan dan pekerjaan adalah dua perkara yang tidak mahu saya bayangkan. Namun selama mana saya mahu bertahan hidup tanpa tanggungan dan tanggungjawab ini? Jelas sekali manusia ini diciptakan dengan tugas dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Kahalifah dan hamba.


Walaubagaimanapun, inilah rasanya cuti yang paling banyak aktiviti yang saya lakukan. Barangkali sebab utama duit biasiswa yang baru masuk yang menyebabkan saya tidak perlu begitu khuatir soal kewangan. Lainnya saya merasa sedikit bosan terperap di rumah tanpa sambungan internet dan televisyen dengan gambar yang tidak jelas. Tapi, apa yang pasti banyak peluang yang terbuka untuk saya lebih aktif. Mudahnya mungkin sudah takdir Tuhan.


Walauapapun cuti hampir berakhir. Saya perlu bersedia berdepan tekanan dan cabaran minggu-minggu pengajian yang pastinya menuntut tumpuan dan pengorbanan. Saya bertekad untuk jalani semester kali ini dengan lebih tekun dan bersemangat. Ya, saya bakal memasuki tahun 2 pengajian ijazah sarjana muda dan berada di tahun tiga kehidupan sebagai mahasiswa. Saya merasakan saya perlu lebih matang untuk menjadi lebih bertanggungjawab .


Bila cuti berakhir. Tanggungjawab saya bakal bermula. Sungguh, saya memang tidak begitu tahan berdepan tanggungjawab yang berat. Namun saya perlu akui betapa saya perlu memikulnya dengan lebih bertanggungjawab!!!


AZAM TAHUN BARU

My Resolutions 1430 H / 2009 M

1. Write at least 6 short stories

2. Make a part time job

3. Start writing first novel

4. Stop say the word ‘malas’

5. Write entri in blog in malay at least once a week

6. Write entri in blog in english at least once a week

7. At least make 3.75 pointer in exam

Setahun yang lalu, inilah 7 perkara yang saya jadikan azam tahun baru. Ya, rasanya saya memang masih tidak mampu untuk memenuhinya. Itulah yang berlaku saban tahun, saya menanam impian namun berhasil menjadi sekadar sebuah mimpi. Kecewa. Entahlah. Apa yang pasti saya tidak pernah putus asa. Waktu terus berlalu, saya terus menanam azam yang hampir serupa. Saya sedar, dari dulu hingga sekakrang tidak banyak yang saya berubah. Begitu juga impian dan cita-cita saya.

Saya hanya berhasil menulis 4 buah cerpen sepanjang tahun 1430 H / 2009. Saya cuba untuk menulis lagi 2 cerpen bagi memenuhi perkara pertama dalam azam saya, namun jemari saya terus kaku untuk menekan papan kekunci komputer riba kesayangan saya ini. Namun, saya bersyukur. Sekurang-kurangnya saya masih mampu menulis.

‘Part time job’. Apabila cuti panjang mahu bermula saya akan mula menyimpan hajat untuk bekerja sambilan. Tapi alasan dan halangan sering saja membuat saya hanya terkunci di dalam rumah. Namun, saya sempat menjana sedikit kewangan dengan perkhidmatan fotostat dan cetakan serta makanan ringan di kolej untuk beberapa ketika. Ya, saya masih berhasrat untuk meneruskannya semester ini. Memang dunia perniagaan bukanlah dunia saya. Namun, saya sedar 9/10 rezeki itu datangnya dari perniagaan. Saya juga berkira-kira untuk membina sebuah lagi blog untuk produk-produk saya. Namun masih dalam perancangan dan bergantung pada keupayaan saya. Atau barangkali akan saya masukkan dalam azam tahun baru saya tahun ini? Hmm..akan saya fikirkan.

Novel. Saya tidak pasti sejak usia berapa tahun saya menyimpan impian ini. Apa yang pasti saya menetapkannya dalam azam tahun baru saya walau saya seringkali menyedari bahawa saya tidak akan mencapainya pada tahun itu, apa yang pasti saya mahu mencapainya walau bertahun-tahun lagi. Tetapi, pada tahun bila? Mungkinkah tahun 1431 H/2010 M akan datang ini?

Malas. Saya memang dah jarang menyebutnya. Walau kadang-kadang terpacul dari mulut saat berbual dengan rakan. Ia menyedarkan saya betapa saya menyebutnya sekadar menambah perbualan dengan teman. Seakan tiada perkataan lain yang lebih perlu untuk diucapkan. Walaubagaimanapun, kemalasan masih menguasai diri saya. Saya sedar saya memang tidak akan melakukan sesuatu jika tidak dalam keadaan terdesak. Itu bermaksud saya hanya akan menjadi ‘rajin’ bila saya benar-benar dalam keperluan. Maka saya perlu memikirkan apakah yang perlu untuk mendesak saya agar saya tidak lagi terus-terusan menjadi seorang yang pemalas.

Entri blog. Hmm, saya rasa ini adalah satu-satunya azam yang berjaya saya penuhi. Walau saya tidak menulis secara seimbang dalam bahasa melayu dan inggeris namun saya menulis lebih dari yang saya jangkakan. Ya, ia menyedarkan saya betapa saya senang untuk menulis. Jadi saya tidak perlukannya untuk azam tahun baru lagi. Jelas ia menjadi satu tabiat bagi saya.

Setiap kali saya membuat azam yang berkaitan akademik ini yang akan berlaku. Saya pasti tidak mencapai apa yang saya tetapkan tapi ia hanya jatu h ke bawah sedikit. Barangkali untuk menuju ke puncak kita perlu bermimpi untuk merentas angkasa raya. Ya, saya sedar itu. Di samping mengukur kemampuan diri, bercita-cita tinggi juga satu keperluan untuk mencipta kejayaan. Walaupun kehidupan semakin sukar, saya tidak mahu sesekali mengalah.

Akhirnya saya perlu menetapkan apakah yang ingin saya capai sepanjang tahun 1431 H/2010 M ini.

Azam Tahun Baru Saya 1431 H / 2010 M

1. Mencapai sekurang-kurangnya GPA 3.75

2. Menulis cerita dalam bentuk siri atau bersambung di dalam blog sekurang-kurangnya seminggu sekali. (Ini bakal menjadi sebuah novel)

3. Siapkan sekurang-kurangnya 6 buah cerpen

4. Jana pendapatan melalui perniagaan

5. Kemas bilik dua minggu sekali

6. Berenang sekurang-kurangnya sebulan sekali

7. Baca terjemahan Al-Quran sekurang-kurangnya satu muka sehari




Saturday, December 19, 2009

Merungkai ‘teknik hijrah’



Hijrah. Ia menjadi titik permulaan kalendar Islam. Ya, Awal Muharram dan Maal Hijrah adalah sama, namun ia tidak serupa. Ya, ia mungkin ada perkaitan.


Hijrah adalah perpindahan. Ada sebuah hadis yang masyhur tentang hijrah. Saya tidak mengingati keseluruhan matannya namun isinya menjelaskan betapa kita akan mendapat apa yang kita hijrahkan. Jika berhijrah kerana wanita, maka wanita yang akan diperoleh. Jika berhijran kerana dunia, maka dunia yang akan diperoleh. Sebaik-baik hijrah adalah kerana Allah.


Hijrah, kita sering menjadikannya simbolik pada perubahan dalam diri individu walau definisi sebenarnya adalah perpindahan antara dua tempat. Saya kira ia bukanlah sesuatu yang utama untuk diperbincangkan kerana indahnya manusia adalah ia mampu menafsir sesuatu menjadi lebih bermakna. Maka penafsiran hijrah sebagai perubahan dalaman diri insan adalah lebih bermakna daripada sekadar perpindahan secara fizikal.


Baiklah, saya memilih untuk berbicara soal hijrah dari sudut perubahan dalaman diri insan. Hakikinya ia sama sekali sukar. Malah kadang-kala mustahil. Namun ada ayat al-Quran yang menyebut tentang Allah tidak akan mengubah sesuatu kaum melainkan kaum itu sendiri mengubahnya. Ya, perubahan hanya berlaku dengan kehendak diri sendiri.


Bagaimana? Manusia terlalu ego dan angkuh untuk berubah. Adakala kita terlalu takut dan bimbang untuk melakukannya. Ya, untuk berpindah kediaman pun kita akan merasa sukar. Kita akan resah memikirkan kediaman yang baru. Bolehkah kita menyesuaikan diri? Adakah ia selesa? Persoalan demi persoalan meragui diri kita. Ya, jika kita tidak benar-benar terpaksa, pasti kita tidak akan melakukan perpindahan itu. Maka untuk melakukan hijrah, lebih-lebih lagi dalam diri keperluan kepada sesuatu daya untuk memaksa hijrah atau perubahan itu berlaku adalah perlu.


Soalnya di sini bagaimana untuk mendapatkan ‘daya pemaksa’ itu? Saya sendiri masih tercari-cari solusi bagi persoalan ini. Namun, untuk jangka masa pendek saya percaya pada kuasa motivasi. Motivasi, secara mudahnya kita akan memahami dengan menyebut tentang kursus atau ceramah motivasi. Ramai dikalangan kita yang percaya menghadiri ceramah motivasi hanya akan memberi kesan motivasi yang singkat dalam diri. Saya yakin 100%. Maka ramai yang beranggapan menghadirinya adalah sia-sia. Saya pernah berfikir demikian. Namun, kewujudan kursus-kursus motivasi serta kelahiran ramainya pakar-pakar motivasi yang semakin bertambah dari sehari ke sehari membuat kita tertanya-tanya. Adakah ianya berkesan?


Saya sering menghadiri majlis taklim atau usrah. Tujuan utama majlis ini diadakan sebagai satu medium untuk kita saling ingat-memperingati. Ya, secara hakikinya ia umpama satu slot motivasi. Ianya diadakan secara berterusan setiap minggu. Berterusan, ia adalah istiqamah. Ia buat saya terfikir perkaitannya dengan motivasi tadi.


Ya, ia mungkin hanya berkekalan untuk jangka masa tertentu jika kita menghadiri satu sesi motivasi sahaja. Tapi jika anda melaluinya sepanjang waktu, berterusan, istiqamah. Saya percaya ‘daya pemaksa’ yang anda perlukan itu tidak akan pernah luntur dan meninggalkan anda.


Mudahnya inti perbincangan ini adalah istiqamah. Ada hadis yang menyebut ibadah yang paling baik dilakukan adalah secara berterusan walaupun sedikit. Ya, motivasi yang berkesan tidak perlu sebegitu panjang, sesi ringkas tapi sentiasa itu yang akan menetapkan hati dn matlamat kita. Maka perubahan yang ingin kita lakukan tidak sekadar hangat-hangat tahi ayam kerana ia sentasa dibakar agar baranya tidak sesekali padam. Percayalah api yang marak terbakar lama-kelamaan akan hanya menjadi arang yang dingin namun jika ia terus disiram minyak, ia akan terus menghangat.


Itulah cara penghijrahan. Ia tidak berlaku sekelip mata. Ia perlu proses yang menuntut pemupukan jiwa agar sentiasa berdepan ‘daya pemaksa’ tadi sehingga ia menjadi biasa. Ia tidak mudah, tapi tidak juga sukar kerana apa yang penting kita ingin melakukan hijrah itu.


Wednesday, December 16, 2009

Kem Induksi Program Menara Gading 10


Kem Induksi untuk Jawatnakuasa dan Fasilitator sempena Program Menara Gading 10 (PMG 10) yang akan diadakan di UNISEL 24-27 Disember ini. Diadakan di Masjid Al-Hidayah Taman Melawati, jadi ini kali pertama rasanya saya bermalam di masjid.

Kem ini saya kira diadakan bagi merancang perjalanan PMG 10 nanti disamping mengeratkan hubungan dan ukhuwah bagi melancarkan lagi program yang akan sama-sama kami laksanankan. Pad mulanya sahabat saya meminta saya untuk hadir kerana mahu kami mempelajari penghasilan modul dari pihak PEPIAS berikutan penglaman mereka yang banyak di dalamnya. Namun, kami telah diletakkan di bawah jawatankuasa, jadi tak banyak yang kami tahu tentang modul. Walaubagaimanapun, berada dalam jawatankuasa turut memberikan kami banyak pengalaman dan ilmu-ilmu yang bermanfaat.

Memang saya jarang bekerja dengan mereka yang berpengalaman. Maka melibatkan diri dalam jawatankuasa ini sedikit sebanyak memberi saya pelbagai ilmu baru dalam melaksanakan sesebuah program. Jujur saya katakan, persatuan ini memang hebat dalam menyusun gerak kerja program.

Saya berharap untuk menimba lebih banyak ilmu. Ya, memang saya tidaklah begitu rajin untuk selalu turus padang menyertai program. Maka saya kira, saya wajar memikirkan betapa singkat masa yang saya ada untuk mengutip lebih banyak pengalaman.