Pages

Showing posts with label luahan. Show all posts
Showing posts with label luahan. Show all posts

Tuesday, January 15, 2013

Listen, Listen, Listen, About Our Right!


Okay. Tak mudah nak menulis dalam bahasa melayu penuh tapi kerana saya ada rasa ‘hormat’ pada bahasa kebangsaan, saya akan cuba.

Saya yakin memaparkan kesalahan dan kesilapan manusia lain adalah satu usaha untuk memalukan dan menjatuhkan maruah individu terbabit. Pasti, saya tak akan setuju dengan tingkah laku seperti itu. Tapi kalau seseorang itu secara tak sengaja mendedahkan keburukan dan kelemahan diri semata-mata berniat untuk menjatuhkan orang lain, bagaimana ye?

Okay, saya bukan mufti untuk keluarkan fatwa tapi saya pening dengan sikap sesetengah manusia yang sengaja buang sampah merata-rata tapi selepas itu akan buang masa untuk kutip sampah tersebut satu persatu semata-mata mahu menunjuk-nunjuk betapa rajinnya dia mengutip sampah walaupun dia buang sampah pun depan orang ramai juga. (Betul kah perumpamaan ini?)

Okay, berbicara soal hak. Mari kita merenung seketika hikmah penciptaan manusia. Selalu kita dengar beza manusia dan haiwan adalah akal. Bukan saya tidak setuju, memang benar, tapi satu lagi perbezaan terpenting antara manusia dan binatang adalah hak. Manusia diberi keistimewaan oleh Allah kerana manusia memiliki hak manakala haiwan tidak.

Hak apa? Hak kebebasan, hak memilih, hak bekerja, hak belajar, hak makan, hak minum, hak tidur (okay, bahagian ini adalah hak haiwan juga), hak bercinta, hak merindu, hak bersuara, hak bertanya, hak meluahkan pendapat, hak berkata-kata, hak memegang mikrofon, hak menjerit, hak merampas mikrofon? Hak menghalau keluar? Hak memotong hujah? Hak menggunakan bahasa rojak? Hak menepuk tangan? Hak bersorak? Hak berdiam diri?

Okay, banyak lagi hak dan saya malas nak senaraikan. Tentu itulah keistimewaan manusia yang Allah ciptakan denganpelbagai hak berbeza dengan binatang malah hak untuk membela nasib binatang juga ada pada manusia serta hak untuk menyeksa binatang juga ada pada manusia (kenapa saya gunakan hak bukan pilihan?). Sebab isunya manusia selalu berbicara soal hak asasi, dan segala pilihan yang ada di dunia, baik dan buruk diangkat menjadi hak ASASI. (Bukan yang asas pun jadi hak asasi)

Paling penting adalah hak beriman. Inilah yang paling membezakan manusia dan haiwan kerana istimewanya haiwan, mereka dicipta tanpa hak untuk beriman lalu mereka semuanya tunduk dan patuh kepada Allah sedangkan ruginya manusia yang punya pelbagai hak perlu memilih untuk mengimani apa?

Maka (dengan izin) ‘human right’ bukan sekadar isu hak asasi manusia tapi saya lebih suka menggunakan istilah (dengan izin) ‘karamah insaniyyah’ ata kemuliaan insan. Manusia yang berhak adalah manusia yang diberikan kemuliaan untuk menjalani kehidupannya sebagai manusia.

Memuliakan manusia bukan sekadar memandang wajahnya, tersenyum, bersalam, dan sebagainya, tapi memuliakan manusia adalah memberikan hak kehidupan yang sewajarnya dia peroleh sebagai manusia.
Jika dia anak, dia berhak mendapat hak sebagai anak. Jika dia pekerja, dia berhak mendapat hak sebagai pekerja. Jika dia pengundi, dia berhak mendapat hak sebagai pengundi. Jika dia pelajar, dia berhak mendapat hak sebagai pelajar. 

Persoalannya, bagaimana menentukan hak tersebut? Bagi orang Islam, saya akan mengajak untuk kembali kepada Al-quran dan sunnah, jadikan sirah nabawi sebagai pengajaran yang berguna. (negara Islam Madinah patut dijadikan hujah jika melawan hujah seorang Islam yang jahil kerana sejahil-jahil orang Islam itu, jika dia masih mahu mengucap dua kalimah syahadah, pasti tidak boleh membangkang negara Islam Madinah yang diasaskan Rasulullah sebagai hujah bandingan dan pasti kita tidak boleh kembali ke zaman itu untuk hidup dalam negara tersebut.) Namun, bagi bukan Islam, hak ditentukan dengan pelbagai cara dan itu sama sekali tidak salah kerana selagi anda bergelar manusia, anda berhak! Dan saya percaya itu.

Sebenarnya dalam isu video forum mahasiswa di UUM ini, saya tidak merasa kasihan langsung (okay, adalah sedikit) kepada gadis India yang dinafikan hak untuk berbicara tapi lebih kepada rasa kagum melihat keberaniaannya menyanggah hujah penceramah yang menunjukkan betapa dia sedar hak dia sebagai pendengar dan juga manusia pastinya. Tapi, saya simpati dengan penceramah muda yang bersungguh-sungguh bersuara tapi tidak memahami bahawa dia sedang menafikan haknya sendiri sebagai manusia yang bebas dan merdeka dengan membiarkan haknya diinjak dengan menjadi taksub kepada satu sistem yang sama sekali menginjak-injak hak manusiawi. 

Okay, manusia bukan robot, bukan mesin, manusia berhak untuk memberi sokongan dan memberi bantahan. Kenapa mahu menafikannya jika benar anda memperjuangkan hak. 

Baik, bersyukur. Bagus bersyukur. Malah dituntut dalam Islam. Dapat telefon pintar pasti lebih-lebih lagi perlu bersyukur. Tapi, untuk bersyukur juga hak manusia. Hak manusia untuk rasa bersyukur dangan apa yang ada sekarang dan rasa tak cukup dengan apa yang ada sekarang. Kalau mahu mengajar syukur, sila edarkan telefon bimbit tanpa skrin sentuh dan warna yang hanya hanya boleh digunakan untuk membuat panggilan dan berbalas mesej. Kenapa mahu di edar telefon mahal? Itu bukan ajaran syukur, itu ajaran tidak cukup dan meminta untuk kehidupan yang lebih baik.

Saya sekadar menggunakan hak  yang ada untuk memberikan pandangan. Anda sebagai manusia berhak untuk menerima atau membantahnya. Terima Kasih!

Link video di sini


Friday, January 11, 2013

Pilihan


Tamat kertas terakhir. Saya berfikir untuk membuat pilihan, bagi meredakan tekanan musim peperiksaan. Antara tidur, membaca novel, menonton filem atau keluar bersiar-siar, yang mana akan saya lakukan dahulu?

Hidup, mana pernah sepi dengan pilihan, dari memilih warna berus gigi sampai memilih warna kulit calon isteri/suami. Semua perlu dipilih. Kadang-kala memang mudah, dan adakala sangat sukar.

Seorang sahabat bertanya pilihan untuk menyambung pengajian, menyemak pro dan kontra dalam membuat pilihan. Bukan mudah, tapi mahu atau tidak, pilihan perlu dibuat...langkah perlu di atur ke hadapan.

Melihat ke belakang, saya bertanya dalam diri, pernahkah pilihan yang telah saya lakukan menghadir kesal dalam diri? Bila memikir, saya jarang berfikir panjang dalam menentukan pilihan, seringkali juga pilihan saya dipandu emosi dan situasi semasa. Jarang saya menimbang-tara semasak-masaknya.

Barangkali, dulu saya masih terlalu hijau untuk berfikir panjang, namun, bila usia makin bertambah, saya menyedari ada pilihan yang saya lakukan memberi kesan mendalam. Setakat ini, saya mahu lebih tenang dalam membuat keputusan. Berfikir panjang dan matang. Sesuai usia, saya kalau boleh tidak mahu silap memilih.

Pilihan dan akibatnya bukan dapat diteka. Masa depan bukan mampu diramal setepatnya. Kehidupan memang kadang-kala berdepan kesalahan dan kesilapan juga kecuaian. Manusia cuma makhluk lemah. Saya percaya bergantung pada taakulan akal adalah kekhilafan yang mesti dielakkan pada peringkat awal membuat pilihan.

Saya masih memilih suara hati, cenderung jiwa dalam membuat pilihan. Namun, dalam hati ada ruang nafsu dan iman. Untuk memastikan hati tidak dikelabui nafsu, iman perlu diperkuatkan.

Ada bicara mahsyur, manusia merancang, Tuhan juga merancang, dan perancangan Tuhan itu lebih besar atau mudahnya manusia hanya merancang tapi Tuhan yang menentukan. Menyerahkan pilihan kepada SI PEMBERI pilihan barangkali satu jalan penyelesaian.

Barangkali juga mengapa solat istikharah itu sangat dituntut. Bukan sahaja untuk menentukan pilihan jodoh pernikahan. Namun, terbabit dalam setiap permasalahan pilihan, keliru antara banyak pilihan, resah kerana pilihan yang ada tidak diberkenan dan buntu kerana tiada pilihan.

Istikharah umpama memberi jiwa dan diri untuk dipimpim dalam jalan Tuhan. Barangkali kita ada keinginan, kita sudah membuat pilihan. Namun, istikharah akan mengembalikan kita kepada pilihan yang membawa kepada kebenaran. Membawa kepada pilihan yang lebih padan dengan kita. Bukankah Allah itu Tuhan yang Maha Pencipta lebih mengetahui tentang hamba-hamba ciptaanNya?

Berbicara selamanya tentang pilihan, saya memilih untuk berhenti menulis setakat ini. Jujurnya, esok saya masih tidak pasti untuk membuat pilihan,  sama ada turun berhimpun, hadir ke bengkel atau sekadar meluangkan masa bersama keluarga yang lama tidak bersua.... barangkali perlu istikharah... =)

Selamat memilih semua!!!

Sunday, January 6, 2013

Sendiri

Bukan tidak biasa untuk sendiri. Namun, sejujurnya saya tidak kuat sendirian.

Tinggal seminggu. Tamat menghadapi peperiksaan dan pembentangan projek tahun akhir. Segalanya akan berakhir within next week and another following week, I give my self time to wrap up everything.

Still, teman serumah dan sahabat baik yang menemani sepanjang hampir 6 bulan sudah kembali ke kampung halaman. Dan tiba-tiba sendirian itu menjadi satu momokan yang menakutkan.

Benar, at the end, death come and all of us will be alone on our own. Tapi mencari kekuatan dalam sendirian terasa begitu sukar.

Yup, I'm getting eyes watery! Life is somehow very hard for me. And living it alone is somehow much more hard.

At this time...getting married come across mind. May be that why Islam menuntut ummatnya untuk bernikah. Serta mendirikan rumah tangga itu adalah menyempurnakan sebahagian dari agama. Sigh...totally not ready yet!

Terkenang, malam kelmarin, ketika kami mengadakan aktiviti 'pillow talk'. Masing-masing meluahkan rasa. Tentang impian, tentang cita-cita, tentang kerisauan, tentang cabaran.... pasti, setiap dari kami berbeza. Perpisahan bakal terjadi dan sendirian adalah pasti sepertimana kematian yang bakal berlaku nanti.

Untuk terbang bebas, independent dan mengurangkan kebergantungan itu mesti. Mau tida mau, sendirian adalah perlu. Mencari kekuatan dalam kesendirian umpama amanah dalam melalui kehidupan.


Tuesday, October 30, 2012

Kembali menari


Saya buat keputusan untuk 'kembali menari'

Tarian apa? Saya sendiri tidak pasti. Setelah beberapa purnama berhibernasi, puas meneliti mimpi-mimpi, saya mahu kembali realiti. Kembali menjadi diri sendiri.

Banyak yang terjadi. Terlalu banyak untuk saya tarikan di sini. Banyak yang akan berlalu di bawa angin lalu atau terkubur sepi dalam sanubari. Namun,sedaya mungkin akan saya cuba mengatur lenggok gemalai dan menari indah.

Pinta saya, jika ada langkah yang sumbang dan lagak yang kurang menyenangkan, dapatlah di beri nasihat dan dimaafkan. Sungguh saya juga insan biasa yang hanya ingin cuba menari di pentas ini....

Sunday, January 1, 2012

2011... another year end...

2011 berakhir juga. 2 semester pengajian tamat. Tinggal lagi 2 semester = 1 tahun. Masa makin pantas berlalu. Masa tinggal sedikit lagi. Berkali-kali terucap di bibir, 'tak dapat dibayangkan hidup selepas ini. Benar-benar dewasa. Meninggalkan alam pelajar dan pengajian, ia menggetarkan hati.'

Setahun yang berbaki. 2 penggal yang tinggal. Ingin sekali menjadikannya benar-benar bererti.

Ketika saya menulis entri ini sengaja saya menyemak entri2 lalu blog ini. Sedar tidak sedar usia blog ini sudah lebih 3 tahun. Masa memang pantas berlalu. Saya tidak pasti apakah niat utama saya mula menulis blog. Entahlah, kadang-kala saya semakin banyak terlupa tentang perkara2 yang lalu. Tentang segala duka dan derita, juga senyum dan tawa.

Ketika menyemak, saya sedari tahun 2009, saya paling banyak menulis. Tahun pertama di alam degree. Jumlah entri semakin berkurang. Sepanjang tahun 2011, hanya 7 entri yang saya nukilkan. Sungguh, saya sendiri tidak mengerti mengapa. Malah kali pertama saya tidak mencatat sempena tahun baru dan hari lahir. Kali pertama saya tidak punya azam baru. Walau tahun 2011, banyak sekali perkara penting yang berlaku.

2010. Tahun kedua sebagai mahasiswa sarjana muda. Kali pertama melangkah ke luar bumi Malaysia. Tahun itu saya ke Singapura pada penggal pertama dan United Kingdom pada penggal kedua. Namun, peristiwa penting itu tidak saya punya sebarang catatan.

Seringkali, kejuruteraan yang lebih tertumpu pada angka dan kira-kira menjadi alasan yang saya berikan memberitahu betapa daya olahan aksara dan kata yang saya miliki semakin tumpul. Barangkali benar. Barangkali tidak. Barangkali juga luka yang dalam yang saya lalui di akhir pengajian asasi dan awal degree berbekas begitu lama hingga saya gentar untuk megukir bicara pena yang takkan terlepas mengukir rasa jiwa yang ingin saya pendam sendiri. Saya sendiri tidak pasti luka itu sudah sembuh. Namun, saya menyimpan impian untuk tegar menulis. Mungkinkah saya mampu?

Walau apapun 2011 berakhir. Maafkan saya atas segala kelemahan yang ada sepanjang tahun itu. Lebih2 lagi kepada sahabat2 di KBM. Menyandang jawatan sebagai Amirah, saya seringkali mentertawakan diri betapa saya hipokrit menjadi diri sendiri. Maafkan saya atas segala kelemahan. Ketika sahabat2 baru yang baru dilantik penuh keraguan untuk menerima taklifan, saya sekali lagi mentertawakan diri, sinis menyindir betapa saya lebih2 tidak layak walaupun telah setahun menanggung taklifan. Dan air mata menitis. Berdosakah saya dalam ketidakseriusan menjalankan amanah? Melepaskan taklifan ini satu kelegaan yang besar. Sungguh, tidak mudah dan saya berkali-kali putus asa. Tapi saya tidak mahu berhenti..

Ya, seperti menulis juga. Saya mungkin lemah untuk istiqamah dan kadang-kala futur sebentar. Sungguh, jauh di sudut hati saya mahu tegar berdiri.

2012... ada ramalan mengatakan dunia akan berakhir. Namun bagi saya, jika kehidupan di dunia ini berakhir, ia adalah permulaan baru. Bagi dunia yang abadi.

Maka saya memilih 2012 ini untuk bermula kembali.

Mencari pena
Meneroka makna

Menilai diri
Menghakikat insani

Biar bumi mati
Akhirat pasti

Kembali berdiri
Walau lemah tak bersendi


Resolusi Akhir tahun 2011 / Azam Awal tahun 2012
(terusan dari Azam Tahun Baru 1433 H)

1. Tulis entri blog sekurang-kurangnya sekali dalam 2 minggu
2. Mula start projek penulisan (bersama sahabat baik..=))
3. CGPA pointer 3.6
4. Habiskan baca buku sekurang-kurangnya sebuah sebulan
5. Sertai aktiviti luar sekurang-kurangnya sekali sebulan
6. Menghantar karya ke media cetak sekurang-kurangnya sekali sebulan
7. Menghasilkan Projek Tahun Akhir yang bermakna
8. Istiqamah aktiviti kerohanian
9. Sentiasa up to date isu semasa
10. Kembali mencari cinta dan hala diri


Rasanya inilah resolusi paling banyak pernah saya senaraikan. Sungguh, selama menulis azam tahun baru bertahun-tahun, tidak semua dapat saya capai. Jadi biarlah berlebih dan jangan berkkurang. Dan saya sedar limitasi diri. Apa yang saya gariskan ada di dalam lingkungan kemampuan diri. Insya Allah. Doakan saya...

Tuesday, December 20, 2011

PPMN : Rasa dalam Jiwa

Awan mendung menyambut saya saat saya melangkah keluar dari blok B, Perpustakaan UPM. Saat menanti bas di pondok menunggu, hujan turun mendadak lebat. Bumi UPM serta merta basah dan dingin dengan rahmat.

Sambil menanti, tangan saya erat memegang salah satu kertas kerja yang dibentangkan sempenan Perhimpunan Penulis Muda Nasional(PPMN) kali ke-3 yang saya sertai di Kuala Lumpur, hujung minggu lalu. Masih tidak sempat menghadam semua lebih kurang 14 kertas kerja yang dibentangkan selama 3 hari 2 malam perhimpunan ini berlangsung. Sengaja saya meneliti apa yang dapat sambil menanti bas tiba.

Sedetik itu kenangan-kenangan sepanjang perhimpunan satu-satu bermain di fikiran.

Banyak...nak cerita tentang apa ye dulu???
hmm..barangkali saya ingin konsikan tentang perasaan...

Perasaan pertama, MELUAT, MENYAMPAH. Kenapa ye? Barangkali sebab pertama kali dengar ceramah propaganda BTN. (dari taakulan saya yang lemah ini, pilihanraya mungkin akan berlangsung pada bulan penghujung Mac atau April 2012). Jadi sebelum pilihanraya ini bolehlah gunakan kesempatan yang ada untuk 'mengikis' harta-harta ahli politik dan parti-parti politik yang pastinya murah hati dan dermawan demi kempen menjelang PRU-13 ini. kenapa meluat? kenapa menyampah? Oh, saya masih tidak memberi musabab konkrit...sebabnya, terang-terang duit rakyat diguna semata-mata untuk kempen politik parti tertentu bila pengarah BTN tanpa segan silu menawarkan PENA peruntukan kewangan untuk pelaksanaan program HANYA SEBELUM PILIHAN RAYA berlangsung. Ya, selepas pilihan raya, pembentangan belanjawan akan menunjukkan pertambahan hutang negara nampaknya sekali. Dalam dingin kamar, hati saya bergetar marah.

Perasaan kedua, PILU. Ketika ucaptamanya, Prof. Dato' Dr. Md Salleh Yaapar (Pengarah Penerbit USM) menyorot nasib bahasa Melayu yang makin TERBUANG dan TERKAPAI. Memaparkan puisi garapan Wan Zahari Wan Ali yang berjudul 'Good Morning Putrajaya'

Dimanakah aku
menjadi rewang
beroleng dan kacau kalut
sekuala, semuara, sepulau, selaut
segunung, sebukit, sebusut, sebutir pasir
dan masih tak mengerti
tersenyum bingung!

Precint
makna apakah itu kamusku
jalan atau lorong sepi dinihari?

Boulevard
makna apakah itu kamusku
Bollywood atau Hollywood yang mangli?

Parcel
makna apakah itu kamusku
kantor atau sarang burung mati?

Semantik apakah yang membebankan sinonimnya
melempar bahasa ibunda
melontar bahasa warga kita
dalam siber yang tertunda lensa

Alamanda
bungaku dari celah dan ceruk kampung
subur seputrajaya tak ternoda
moden bahasa

Good Morning Putrajaya
bin@binti apakah engkau
di sisi bonda

Hati saya dipagut sayat dan pilu. Mata saya mulai berkaca-kaca menahan sendu. Tidak sekadar meratapi nasib Putrajaya di tanah Malaysia yang keliru identitinya, namun, saya sendiri meratapi nasib diri angkara sistem kehidupan yang mengankat dan menjulang kononnya bahasa ilmu antarabangsa. Kemahiran untuk saya berbicara dalam bahasa Melayu sempurna turut lemah dan tidak memenuhi kriteria.

Perasaan ketiga, TERUJA. Pembentangan kertas kerja, perbahasan ilmiah, lontaran idea, perkongsian pengalaman dan kehadiran ramainya ahli-ahli akademik dan sastera (termasuk beberapa sasterawan negara) sama sekali membangkitkan rasa dan jiwa. Kadang-kala saya sndiri terfikir, kenapa Allah memberikan nikmat dan rahmat yang begitu besar untuk saya dapat hadir dalam perhimpunan ini walaupun saya sama sekali bukan dalam lingkungan penulis (sekadar menceceh di laman maya). Kredit dan penghargaan untuk adinda Nur Hazlina Mohd Fisol (Ina Nailofar) yang mengajak saya ke sana. Mengembalikan saya kepada mimpi zaman kanak-kanak yang sedikit demi sedikit pudar dari minda.

Perasaan keempat, barangkali terakhir, KECEWA. Tentu dan benar, saya sedikit kecewa bila Faisal Tehrani tidak dapat memunculkan diri beliau untuk membentangkan kertas kerja beliau. Menjadikan satu-satunya pembentang kertas kerja yang hadir tanpa diganti. Saya tidak pasti apakah alasan sebenar beliau, adakah benar-benar konkrit atau tidak. Namun, tidak hadir setelah tercetaknya kertas kerja dan ada di tangan setiap peserta, adalah satu tindakan yang kurang profesional di situ. Sebagai seorang 'pengikut setia', saya terkilan dan kecewa. Lebih-lebih lagi banyak persoalan yang ditimbulkan dari kertas kerja beliau oleh khalayak yang hadir. Serasa beliau bagai lari dari menjawab soalan-soalan kontroversi (walau saya yakin itu bukan alasannya). Ya, pertama kali rasanya saya kecewa dengan beliau.

Rasanya setakat ini sahaja..rasa-rasa yang bermain dalam jiwa saya...
Barangkali akan saya kongsikan dalam entri lain tentang isi-isi perbincangan yang mengisi ruang minda dan akal saya.

Wednesday, October 27, 2010

Stress dengan MPP...

Saya memang malas nak menulis isu ini, tapi sebab dah terajin nak menambah entri saya tambah la entri kontroversi satu..hehe...

Rasanya semua sudah maklum pilihanraya kampus UPM yang lalu adalah paling tak berkualiti, tak adil, prejudis dan segala macam lagilah. Sebabnya? Malas nak cerita, masing-masing cari sendirilah.

Apa yang saya nak tulis di sini adalah apa tugas MPP?

Adakah memberi alasan untuk ‘backing’ pihak pengurusan?

Pergi buat program bersuka-ria?

Bergaya dan ‘cat walk’ dalam program-program besar?

Mesyuarat informal berebut ‘boyfriend’ sesama MPP?

Atau apa ye?

‘Masa kami turun mengundi dulu, kami tak ada pun mengundi perempuan-perempuan ‘freehair’ tu? Tapi kenapa mereka yang naik jadi MPP ye?’ ada seorang teman berbicara. Saya pun nak tanya juga kenapa? ‘May be orang lain ramai mengundi dia agakanya...’ hmm bersangka baik walau sudah tahu hakikatnya....

Saya bukan anti ‘freehair’ tapi saya tak faham kenapa MPP tak buat kerja?

Tak ada orang lapor ke?

Kalau tak ada orang lapor masalah maksudnya tak ada masalah? Jadi MPP boleh goyang kaki? Pakai ‘smart’ and ‘make up’ lawa saja?

Sefaham saya lah....tujuan utama MPP diwujudkan adalah untuk jaga kebajikan pelajar...tujuan-tujuan lain adalah sampingan....program besar-besar nak naikkan nama UPM tu saya kira bukan kerja MPP , itu lebih kepada kerja unit korporat or whatever name it is...but the point is that the UPM job. Not MPP! Dah bercampur bahasa..

Memanglah MPP yang dilantik kali ini adalah pilihan orang-orang tertentu dan bukan pilihan pelajar. Jadi kena dengar cakap orang tertentu saja lah? If that so, then fine. Dont call yourself MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR.. call MAJLIS PERWAKILAN TNC? Maaf, TNC dah berubah, jadi tak boleh guna. Nampaknya dah tak panggilan yang boleh digunakan lagilah...

Saya rasa saya dah merepek jauh ini. Saya di sini nak memberitahu pada MPP yang ada di dalam UPM ini untuk buka mata dan kenal pasti masalah pelajar-pelajar dalam UPM. Terutama MPP di kolej 10/11, tolonglah check keadaan kafeteria kita tu. Banyak betul yang tak betul. Jangan asyik minta bukti sahaja. Anda juga pelajar, dan sebagai MPP adalah tugas anda sebagai MPP untuk mencari bukti dan menyelesaikan kemaslahatan yang ada. Begitu juga MPP di kolej-kolej dan fakulti di seluruh UPM yang lain. Banyak isu kebajikan pelajar yang perlu anda tangani.

Apa yang ingin saya tekankan, sebagai MPP, yuran anda free....jadi jangan haramkan yuran anda itu tanpa melaksankan tanggungjawab anda....

Semoga sebelum pilihanraya kampus yang akan datang, anda ada meninggalkan jasa dan bakti sebagai MPP. Wakil kami, pelajar-pelajar UPM...=)

Akhir kata, maaf andai tersalah dan tersilap tulis. Apa yang saya lakukan ini adalah teguran kecil dari golongan pelajar bawahan...buat MPP semua, teruskan menjalankan tugas dan tanggungjawab anda... (peace no war).

Sunday, January 31, 2010

PRK UPM 2010 – Persoalan-persoalan saya....

Pilihan raya selamat berlangsung Selasa lalu, tapi sehingga Jumaat kami masih menanti-nanti senarai nama MPP yang berjaya memenangi kerusi. Ya, memang banyak khabar berita yang diterima namun keputusan rasmi yang ditampal masih dinanti. Sebagai seorang mahasiswa dan pengundi, mengetahui siapakah pemimpin yang bakal memperjuangkan nasib mereka adalah sesuatu yang amat dinanti.

Namun, saya menerima sms pagi tadi menyebut tentang pembatalan kemenangan beberapa calon MPP yang telah pun dikenalpasti kemenangan mereka. Ya, itu memang satu kejutan. Dan sebagai mahasiswa dan pengundi, sekali lagi kami tertanya-tanya.

Lalu, saya menambahkan pertanyaan di sini, apakah perlu PRK dilaksanakan jika sekadar mahu melantik pemimpin yang sedari awal telah dipilih? Mengapa perlu membazir waktu, tenaga dan wang dan merumitkan pemikiran untuk memikirkan jalan dan langkah jika pemilihan sudah sedia ditetapkan? Lantas saya menyarankan proses pilihanraya kampus UPM ini dimansuhkan sahaja........

Ketika tempoh sehari kempen, ada teman-teman yang bersungut melihat kertas-kertas poster yang bersepah-sepah. Bukan sahaja nampak seperti pembaziran malah lebih mencacatkan pemandangan. Namun saya hanya tersenyum dan dalam hati bertanya sendiri, bagaimana kemeriahan pilihanraya dapat terasa tanpa perang poster?

Itu terus membuatkan saya terus bertanya, betapa ramai mahasiswa yang sanggup mengorbankan masa dan tenaga mereka mengedarkan poster dan berkempen demi kemenangan calon pilhan mereka. Ya, tiada calon yang sendirian dalam meraih undi. Mereka perlukan penyokong-penyokong setia yang membantu perjuangan mereka. Maka, persoalan saya, pasti ramai juga dikalangan mahasiswa yang sanggup mengorbankan tenaga dan masa mereka untuk mengira kertas undi dalam menentukan ketelusan proses pemilihan calon. Jika saya bertanya, adakah anda sanggup untuk mengira kertas undi secara percuma, pasti anda akan teragak-agak untuk mengiakannya, namun jika saya berkata, adakah anda berminat menjadi sukarelawan dalam melancarkan perjalanan proses pilihanraya, saya kira ramai dikalangan mahasiswa tanpa ragu sanggup mencurahkan bakti.

Lalu saya bertanya, mengapa perlu lagi e-undi? Ya, saya memang menyokong e-undi dari sudut efisiensi dan kelestarian yang dapat dilaksanakan. Tentu sekali saya bersetuju jika kertas tidak lagi digunakan dalam proses pengundian kerana pokok yang ditebang dapat dikurangkan dan keseimbangan ekosistem dapat dijaga selain menunjukkan ketinggian teknologi yang kita miliki. Namun saya seakan mahu ketawa pula bila proses berkempen masih di tahap tradisional malah purba bila hanya poster dan pamplet dari kertas A4 yang digunakan yang jelas tidaklah ‘lestari’. Malah, ‘kempen berteknologi’ turut disekat seakan eksplorasi teknologi oleh golongan mahasiswa pula seakan mahu dimatikan.

Ya, memang lucu. Saya tidak mahu tahu siapa salah dan siapa yang mulakan dahulu. Namun, saya mengharapkan penyelesaian. Sebagai mahasiswa, kita masih terlalu muda untuk membelenggu diri kita terhadap dalam anasir-anasir negatif. Sebagai mahasiswa, kita perlu lebih berlapang dada dan bersikap terbuka tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak dan berjuang demi kebenaran.

Barangkali ini persoalan terakhir yang ingin saya tanyakan, kali ini kepada bakal-bakal MPP yang akan diisytihar dalam masa yang hampir; Apakah tujuan utama anda bertanding dalam pilihanraya kampus kali ini? Adakah anda benar-benar mahu memperjuangkan hak-hak mahasiswa seperti yang anda senaraikan dalam manifesto anda? Atau sekadar mahu menambah laku resume anda dan menunjukkan kepada betapa hebatnya anda kerana berjaya bergelar pemimpim mahasiswa (walau hakikatnya anda bukan pilihan mahasiswa). Seperti entri yang lalu, saya mahu tekankan lagi, mahasiswa adalah golongan yang perlu bebas dan merdeka, jangan membelenggu jiwa dan minda kita dengan materi dan pengiktirafan semata-mata.

Akhir kata, saya memilih calon yang saya yakin akan kemampuan mereka membela hak saya sebagai mahasiswa. Tidak kira mereka Pro-Aspirasi atau Pro-Mahasiswa. Harapan saya, satukan hati kita sebagai mahasiswa. Jika ada pihak yang tidak mampu berlaku telus, sebagai mahasiswa, kita wajar bersikap telus, jujur dan amanah.

Sunday, January 24, 2010

PRK 2010-sebuah catatan awal

Sekarang musim pilihanraya kampus. Seorang sahabat saya turut bertanding. Ya, orangnya agak popular juga barangkali kerana personalitinya yang mudah mesra. Namun, saya juga yakin beliau juga seorang bertanggungjawab dan berdedikasi pada tugas. Saya berdoa semoga beliau berjaya.

Pilihanraya kali ini nampak sedikit ‘hidup’ berbanding yang lalu. Ya, langsung tiada sebarang khabar dan berita. Seakan tidak mahu buat juga. Ya, barangkali ketika itu kehangatan pilihanraya umum masih terasa, maka pilihanraya kampus perlu mengambil ‘jalan selamat’ untuk dilaksanakan.

Saya tidak pernah membaca apa-apa artikel atau rencana tentang bagaimana sesebuah pilihanraya kampus itu dilaksanakan. Namun, dari ucapan YDP MPP dalam sebuah majlis baru-baru ini saya menyedari betapa mahasiswa-mahasiswa yang bertanding hendaklah atas tiket calon bebas dan sama-sekali bukan mewakili mana-mana parti seperti yang berlaku dalam pilihanraya umum. Walaubagaimanapun, secara tidak rasmi calon-calon ini terbahagi kepada Pro-Aspirasi dan Pro-Mahasiswa.

Ya, ketika demam pilihanraya kampus sedang bermula, bekas-bekas MPP yang lalu mula membuat kempen. Memang aneh, orang lain yang bakal bertanding, orang lain pula yang bersungguh untuk berkempen biarpun waktu berkempen masih belum tiba. Barangkali juga kerana ketika pilihanraya yang lalu mereka tidak diberi peluang langsung untuk berkempem. Maka dua kelompok ini Pro-Aspirasi dan Pro-Mahasiswa semakin jelas kelihatan.
Kadang-kala saya mahu tertawa dan kadang-kala saya sedikit kecewa. Barangkali kita semua mahu lakukan yang terbaik dalam setiap tugasan yang diamanahkan. Namun kadang-kala kita seakan terleka yang kita kejar bukan menghulur bakti dengan tulus namun harapan kita terpandang dan terkenang dalam lipatan sejarah. Ya, itu yang dapat saya rasakan terselit dalam hati bukan sahaja MPP malah keseluruhan mahasiswa. Kita menghulur tangan bukan semata-mata mahu membantu yang memerlukan tapi kerana kita mengharap orang lain turut melihat, menyanjung dan mengangkat.

Maka kuasa, pengaruh dan kepercayaan menjadi matlamat. Ya, saya kecewa. Barangkali banyak pencapaian dan kejayaan yang telah kita perolehi. Sungguh ia sangat mengagumkan. Namun, saya kecewa jika hanya sekadar itu tujuan dan matlamat kehidupan. Semata-mata kerana diri sendiri.

Dunia politik memang menggerunkan. Namun, tanpa kuasa politik kita seakan tongkat tidak dipapah. Mahasiswa adalah golongan muda yang penuh semangat dan idealistik. Saya bimbang dan saya harap agar semangan dan idea mahasiswa tidak ditenggelami oleh pengaruh material dan penghargaan. Dari dulu kita berjuang demi berbakti kepada masyarakat. Maka saya mengharapkan kita tidak akan sesekali berubah dan bercakaran sesama sendiri kerana kepentingan diri sendiri. Apatahlagi oleh pihak-pihak yang cuba memanipulasi semangat dan idea kita.

Pilihanraya kampus bakal bermula. Di UPM, calon-calon yang layak bertanding telah diumumkan. Sebagai warga kampus, menjadi hak dan tanggungjawab kita untuk membuat pilihan. Bagi sahabat-sahabat yang bertanding, bertandinglah secara adil atas semangat persaudaraan dan permuafakatan. Biar siapa pun kita, kita perlu sedar kita adalah mahasiswa yang bebas dan merdeka untuk menjadi diri kita sendiri. Jika anda terpilih, anda perlu sedar tugas anda bukan lagi mencari publisiti, tugas anda adalah berada dikalangan sahabat-sahabat anda ini untuk membantu mereka. Juga sebagai pemimpin, anda perlu sedar amanah yang anda galas itu sangat berat.

Thursday, November 26, 2009

Mencipta Pilihan


Selagi kehidupan berlaku, selagi itu wujud pilihan. Hanya kematian satu ketentuan dan kita hilang hak untuk membuat sebarang keputusan. Kadang-kala bila berdepan pilihan, kerunsingan melanda fikiran dan kita berbicara sendiri andai saja kita tidak perlu untuk memilih. Namun, bila kita tidak punya pilihan, kita merasakan pupusnya keadilan dan ia sesuatu yang tidak wajar. Maka saya menemui satu kesimpulan, fitrah manusia adalah resah dengan pilihan yang ditimbulkan sendiri. Kerana kita menginginkannya.


Dalam tempoh kurang sebulan, sudah dua kali saya diajak teman-teman untuk ke Sunway Pyramid. Saya tidak pasti sejak bila kompleks membeli-belah itu wujud, tapi saya mengenali sebagai tempat rekreasi luncur ais yang popular. Namun, baru tahun ini saya sempat melihatnya. Sebuah bangunan yang dibina dengan ciri-ciri Mesir. Piramid dan simbol-simbol yang seumpamanya. Pertama kali melihat saya merasa kagum sekali, seakan tidak percaya melihat reka bentuknya. Walaupun begitu hati saya seperti ditusuk. Bagaimana sebuah negara yang menjadikan Islam sebagai agama persekutuan begitu mudah meluluskan sebuah binaan serupa rumah berhala sebagai kunjungan umum? Ya, kod tatacara pemakaian yang umum juga sukar untuk dituruti, mana mungkin negara demokrasi ini terfikir tentang kod seni bina dan reka bentuk.


Sehingga itu saya membuat keputusan untuk tidak akan mengunjunginya. Sekaligus memadam hasrat untuk mencuba sukan luncur ais. Tapi, saya jadi goyah juga bila diajak berkali-kali kerana saya memang teringin untuk cuba meluncur di atas ais walau saya sedar saya hanya akan jatuh berkali-kali. Sebelum saya menulis entri ini, saya terfikir mengapa saya menahan diri untuk memasuki bangunan itu? Sedangkan saya yakin dan tanpa ragu saya akan melawat mana-mana rumah ibadah di seluruh dunia jika punya peluang. Saya juga telah menjejakkan kaki sebuah gereja dalam usaha memahami agama Kristian. Tapi itu soal lain. Apa yang pasti saya memang seorang pengagum seni bina dan reka bentuk. Angkor Wat antara banyaknya rumah ibadah zaman lampau yang ingin saya kunjungi. Malah ketika menonton rancangan National Geographic tentang pemusnahan patung Buddha oleh Taliban di Afghanistan terdetik di hati saya betapa sebuah warisan zaman lampau akan hilang dan musnah begitu saja. Namun, saya sedar walau saya masih tidak pasti hukum sebenarnya, patung Buddha itu adalah lambang bagi mensyirikkan Allah maka wujud kewajaran untuk menghapuskannya. Barangkali tinggalan Ayah Pin yang dimusnahkan pihak berkuasa boleh dijadikan bandingan.


Banyak pula saya berbicara, soalnya saya telah mencipta pilihan dan setakat ini saya memilih untuk tidak memenuhi ajakan teman-teman saya itu. Walau saya memang mengharap saya tidak perlu untuk memilih.


Sunday, November 1, 2009

masa yang tinggal



Semester ini tinggal lagi 2 minggu sebelum berakhir. Tahun ini tinggal lebih kurang 2 bulan sebelum berakhir. Saya tertanya-tanya tinggal lagi berapa lama untuk saya tinggalkan segalanya?


Masa memang akan terus berlalu. Dan kita dalam tertekan mengejar setiap tarikh akhir. Bimbang dan gusar, andai apa yang perlu disediakan, apa yang perlu disiapkan, masih belum selesai bila tarik akhir tiba. Sungguh, kita takut. Takut berdepan keadaan di mana kita masih belum bersedia, masih belum menyiapkan apa yang perlu pada tarikh yang ditentu. Takut berdepan masa depan.


Ya, saya tidak sabar untuk semester ini beakhir setelah lebih 5 bulan bergelut dengan pelbagai peristiwa, tarikh akhir dan tekanan. Namun, saya tidak mahu tahun ini berakhir. Mengingatkan usia yang bakl kurang setahun lagi, saya seakan bimbang dan gentar. Kerana saya tidak tahu bilakah tarikh akhir saya akan tinggalkan segalanya?



Wednesday, September 30, 2009

Saya mahu ‘bercinta’


Percaya tidak, saat ini saya ingin sekali ‘bercinta’. Bukan bencinta lagu Faizal Tahir tu. Tapi bercinta...boleh faham?

Tapi saya kemudian bertanya pada diri, bagaimana ‘bercinta’ itu? Adakah dengan ‘dating’? Keluar makan dan tengok wayang? Atau adakah berutusan warkah, meluah rasa dan kerinduan?

Saya bertanya lagi, dengan siapa saya mahu ‘bercinta’? Dimana akan saya temui sang kekasih untuk ‘bercinta’? Dan adakah mungkin sang kekasih adalah pasangan ‘bercinta’ paling sesuai untuk saya?

Ah, persoalan demi persoalan memenuhi ruang fikiran saya! Seakan saya tidak pernah memikirkan persoalan ini. Seakan saya benar-benar baru pertama kali mengenali istilah ‘bercinta’ ini. Seakan ada keanehan yang melanda diri. Apakah yang berlaku?

Saya kesepian, sunyi dengan bersendiri. Seakan hilang punca dan arah laluan. Seakan terpesong dan terbabas jalan. Seakan sesat mencari pangkal. Seakan...saya sendiri tidak mengerti diri saat ini.

Segala serba tak kena. Segala serba tak mudah. Segala serba serabut. Dan sebuah kenangan melintas di fikiran. Betapa sebuah cinta menghidupkan nyawa. Dan ia melorong ke arah sebuah makna hidup yang benar-benar agung. Lalu saya merasa, saya ingin sekali ‘bercinta’.

Ah, aneh memang aneh! Moga ada cinta untuk saya dan kalian semua!

Saya sering memikirkan, bagaimana mungkin cinta sejati itu benar-benar ada? Bagaimana kesetiaan benar-benar menjadi pendirian? Bagaimana hati dan perasaan tidak mungkin berubah? Bagaimana kerinduan tak pernah pudar?

Ia seakan dogengan, fantasi yang mengkhayalkan kerana realitinya ia tidak mungkin untuk berlaku. Kisah rekaan untuk membuai perasaan, memberi harapan dan mencitra impian. Namun, saya seakan ragu, adakah ia sesuatu yang mustahil sama sekali?

Saya selalu bermimpi untuk miliki kisah cinta sejati. Mungki cinta sedalam Romeo dan Juliet, tidak, bukan cinta yang membunuh. Barangkali cinta seteguh Qaisy dan Laila, tidak, bukan cinta yang menjarakkan. Adakah cinta Yusuf dan Zulaikha? Tidak, bukan cinta yang mengelirukan.

Adakah saya terlalu tamak? Meminta terlalu banyak?

Saya cuma mahu kisah cinta seorang nenek yang setia menjaga atuk yang terbaring tak bermaya. Cinta yang membawa pahit dan manis dalam hidup bersama. Cinta yang menyelimuti jiwa tanpa balasan. Cinta yang tak pernah berubah biar berkali diuji. Cinta yang berjanji untuk bertemu di syurga.

Adakah akan saya temui cinta seperti itu? Sungguh saya ragu, antara mungkin ada dan tiada.

Saya masih mahu ‘bercinta’. Berkongsi impian dan pengalaman. Meluah kesalan dan keluhan. Berbicara tentang segalanya.

Sukar untuk percaya, saya cuma mahu ‘bercinta’.