Pages

Tuesday, July 7, 2009

Islamophobia


Perkataan itu pertama kali saya baca pada satu cetakan ketika menumpang kereta seorang sahabat. Sahabat saya itu menceritakan sedikit tentang bapanya yang menyertai persidangan tentan Islamophobia di Eropah. Saya sekadar memasang telinga kerana saat itu saya kurang sekali informasi tentangnya.


Seiring dengan peredaran masa, saya semakin memiliki sedikit pengetahuan tentang perkataan yang pada mulanya agak berbelit lidah untuk saya menyebutnya. Satu isu yang timbul oleh propaganda barat dalam melabelkan negara-negara yang majoritinya mengamalkan agama Islam sebagai sarang pengganas. Sehingga Islam digeruni dan ditakuti sebagai satu agama yang ganas dan tidak berperikemanusiaan. Perkataan Islam menjadi fobia kepada masyarakat atas angin di atas propaganda-propaganda yang di bawa barat.


Anehnya saya sering pula menerima informasi tentang peningkatan masyarakat Amerika dan Eropah yang memeluk Islam dari semasa ke semasa. Dan yang paling terbaru adalah tentang Michael Jackson, penghibur Amerika yang sangat terkenal yang meninggal dunia sebagai seorang muslim. Sungguh, islamophobia ternyata hanya propaganda dan masyarakat dunia semakin terbuka untuk menerima agama suci ini.


Isunya di sini ialah apakah pandangan kalian jika islamophobia berlaku dalam sebuah negara yang menjadikan Islam sebagai agama persekutuan yang digunakan untuk apa jua upacara dan majlis. Negara yang mengaku sebagai negara Islam yang majoriti rakyatnya mengamalkan agama Islam serta begitu aktif diperingkat antarabangsa dalam isu-isu rasmi bersifat islamik. Apakah yang kalian rasakan jika di dalam negara seperti ini juga, islam begitu digeruni dan hampir-hampir dianggap pengganas?


Jika bertanyakan saya, saya sama sekali begitu sedih dan juga marah. Sedih kerana golongan yang mengangap Allah itu Tuhan yang esa dan Nabi Muhammad itu pesuruh-Nya ternyata begitu gusar dengan agama sendiri. Marah pula kerana mudahnya umat islam hilang jati diri dan keimanan dengan bulat-bulat terpengaruh dengan propaganda golongan kafir yang mahu menjatuhkan islam.


Sungguh, saya merasa begitu lemah dan malu pada diri sendiri kerana hanya mampu untuk mengkritk keras di dalam entri ini. Namun, inilah usaha yang dapat saya lakukan. Saya berdoa Allah akan memberikan saya kekuatan untuk lebih lantang bersuara.


Saya menyeru saudara-saudara yang berkongsi keimanan yang sama agar tidak begitu mudah dipengaruhi oleh budaya hendonisme (berseronok-seronok) dan menganggap agama itu satu kekangan yang mengongkong dan menyekat. Saya sedar kita menuju kesatuan bangsa, Satu Malaysia. Kita tidak mahu dibatasi oleh perbezaan budaya dan agama. Kita seakan mahu berkongsi segalanya. Kita begitu berbangga dengan perkongsian ini tanpa sedar pemikiran liberalisme dan pluralisme mulai menyerap jiwa dan sanubari kita.


Saya terkenang ceramah sejarah negara yang disampaikan oleh Prof Dr Ramlah Adam sempena minggu perkasa putra yang lalu, kaum melayu sudah banyak berkorban dalam pembentukan Malaysia, melayu sudah hilang bangsanya kerana mahu mewujudkan bangsa Malaysia. Saya bukan mahu menjadi rasis di sini kerana saya sama sekali tidak melihat mewujudkan negara bangsa satu yang paling penting kerana negara bangsa juga samalah seperti demokrasi yang dibawa manusia dan bukan Tuhan. Namun, apa yang ingin saya bicarakan dan tegaskan di sini ialah jangan terlalu lemah-lembut dan mengalah kerana setelah hilang bangsa jangan pula kita hilang agama. Nauzubillah.


Sebelum meneruskan penulisan, saya tegaskan saya bukan mahu berpolitik apatahlagi meraih pengaruh, namun sebagai masyarakat yang sihat akal fikiran, saya mahu kalian berfikir dan menimbang dengan sebaik-baiknya. Jika wujud persatuan yang menggunakan agama Kristian, Hindu dan Buddha, apa salahnya dengan persatuan yang menggunakan nama Islam? Dari mana kita boleh mengakses tentang agama kita di satu suasana yang tidak lagi mewajibkan agama untuk dipelajari dan dihayati jika tidak melalui persatuan yang membawa nama agama?


Wajarkah sebagai seorang muslim kita merendahkan agama sendiri dan mengagungkan agama lain?


Saya kecewa sebagai seorang pelajar, teman dan saudara seagama dengan ungkapan yang menghina agama seperti ini. Saya mencadangkan jika terlalu gusar dan gentar, wujudkan persatuan baru yang membawa nama Islam dan mewajibkan setiap mahasiswa untuk menyertainya. Pantaulah setiap aktiviti agar benar dilandasan syarak tanpa pengaruh dan anasir luar. Kerana saya yakin, apa yang didahagai oleh mahasiswa bukan kempen politik dan sebagainya namun nilai-nilai Islam yang tulus dan suci yang terus menerus dapat diakses pelajar.


Akhir kata, saya tegaskan di sini saya seorang muslim yang cintakan agama dan negaranya yang berjuang hanya kerana-Nya dan bukan kerana yang lain.




Kejutan Budaya


Saya mengambil keputusan untuk menyertai minggu orientasi pelajar baru sebagai urusetia. Sedikit aneh sebenarnya kerana hakikinya saya jarang-jarang sekali berminat untuk menyertai program anjuran universiti. Bila dikenangkan kembali mengapa, saya sedar kini sebabnya setelah saya melalui sendiri dua minggu ini.


Pertama, saya tak mungkin berjaya mengadaptasi diri dengan gaya dan budaya yang diamalkan dalam sebarang aktiviti dan program yang diadakan. Barangkali tidak semua namun hampir setiap daripadanya. Saya jadi terkenang minggu orientasi yang telah saya lalui dua tahun lalu ketika kali pertama saya menjejak kaki sebagai mahasiswa di institut pengajian tinggi ini. Ia menjadi titik tolak untuk saya jadi berhati-hati dalam memilih sebarang program dan aktiviti untuk disertai. Namun, akhir-akhir ini iaitu semenjak semester yang lalu saya semakin cuai dan lalai. Sungguh, saya perlu kembali berwaspada dan sentiasa waras serta berfikir sepanjang sebelum mengambil sebarang keputusan.


Sebelum mula bertugas sebagai fasilitator untuk pelajar baru, kami terlebih dahulu perlu menghadapi tiga hari kursus persediaan. Tiada apa yang menarik tentang kursus ini selain masalah penyediaan makanan pada mulanya dan isu ketepatan masa oleh pihak yang menganjurkan. Namun, saya sedikit tertarik untuk berbicara soal rancangan Suara Siswa terbitan RTM yang dirakamkan secara langsung di universiti ini ketika kami sedang menjalani kursus tiga hari.


Hakikatnya saya bukanlah penggemar rancangan ini, cuma sesekali menonton untuk menilai kemampuan mahasiswa masa kini dalam menganalisis isu-isu semasa disamping melontarkan idea serta pemikiran serta berkongsi ilmu pengetahuan. Ternyata, acapkali saya membuat konklusi betapa mahasiswa kita begitu lemah dalam soal-soal begini. Bukan saya mahu merendah atau memperkecilkan kebolehan mereka kerana hakikatnya saya sendiri lebih rendah dan kecil berbanding mereka yang tampil sebagai pemimpin mahasiswa, namun saya merasakan mahasiswa kita kurang meneliti ilmu serta membuka minda unutk berfikir secara lebih kritis dan kreatif.


Apa yang menarik tentang rancangan Suara Siswa ini bukanlah kerana hangatnya topik perbincangan kerana ternyata idea-idea yang disampaikan oleh panel-panel jemputan sama sekali bagi saya tidak sampai maklumatnya atau jika sampai sekalipun hanyalah idea-idea lapuk yang kurang relevan dan perlu penjelasan yang lebih mendalam. Namun saya begitu tertarik untuk mengupas serba sedikit tentang topik kejutan budaya yang diutarakan pengacara. Bukan mahu menunjuk pakar di sini, sekadar perkongsian idea dan wacana. Barangkali tempoh kurang 60 minit yang diperuntukan pasti terlalu singkat dan saya yakin panel-panel jemputan mempunyai luahan idea yang lebih mapan dan jitu untuk disampaikan.


Saya sentiasa mengalami kejutan budaya tiap kali memulakan kehidupan di persekitaran baru. Bagi saya ia bukan sesuatu yang asing malah normal untuk setiap individu. Namun, masalah utamanya ialah bagaimana untuk kita berdepan dengan isu ini?


Sebelum merungkai permasalahan ini dari sudut pemikiran mahasiswa yang masih hijau ini, saya kira baik rasanya saya mendefinisikan kejutan budaya itu sendiri. Saat saya menulis entri ini, saya cuma bersama komputer riba tanpa sambungan internet serta tiada sebuah kamus pun di sisi. Maka tanpa sebarang rujukan, saya memberi makna dua perkataan ini dari pemahaman akal saya yang pendek ini. Lucu sekali bukan? Namun, inilah yang berlaku pada kebanyakan mahasiswa hari ini tidak terkecuali saya yang bertindak mengikut pemikiran sendiri dan begitu mudah terpengaruh pada anasir-anasir yang mampir.


Walauapapun, dari pemahaman dan ilmu sedikit yang saya miliki, saya memaknakan kejutan budaya sebagai satu situasi di mana apabila satu individu itu berpindah dari persekitaran budaya yang biasa dialaminya kepada satu persekitaran yang mengamalkan budaya yang sedikit berbeza atau sama sekali berbeza dengan budayanya yang biasa itu. Kebiasaannya individu yang berdepan dengan situasi ini akan memiliki beberapa perasaan antaranya bimbang, takut, sedih, gembira, teruja dan sebagainya. Perasaan-perasaan inilah yang perlu diseimbangkan dalam diri masing-masing agar ia tidak menjerumuskan diri dalam kejutan budaya hingga mahasiswa menjadi individu yang terlalu terikut-ikut perasaan. Oleh itu, konsep IQ, EQ dan SQ sangat memainkan peranan yang penting untuk difahami dan dihadam oleh pelajar.


Baiklah, berbalik kepada permasalahan iaitu bagaimana caranya untuk kita menghadapi isu kejutan budaya. Setelah dua tahun di alam universiti dan bertahun-tahun di pelbagai sekolah, saya merasakan salah satu cara terbaik untuk berdepan permasalahan ini adalah dengan kembali kepada jati diri kita. Permasalahan lain pula akan timbul ialah apakah itu jati diri? Dan apakah pula jati diri kita?


Secara mudahnya saya dapat memberi di sini ialah jadilah diri sendiri. Jangan menjadi seorang mahasiswa yang begitu mudah terpesona dan mengikut apa jua tampil dan hadir. Namun, dalam isu usia kita ketika ini, kita sering mengalami konflik identiti, celaru tentang siapa diri kita dan ke mana arah tujuan hidup kita. Lantas kita sendiri tidak pasti siapakah diri kita.


Rumit sekali bukan? Namun, inilah kerumitan yang dialami oleh kita semua. Dan saya sendiri masih tidak menemui sebahagian jawapan dari kerumitan ini kerana saya sendiri sebaya dengan kalian, mengalami dan melalui konflik yang serupa.


Namun, dalam mencari identiti dan jati diri, sumber rujukan paling utama adalah agama dan sejarah. Saya tidak mahu bersikap rasis di sini sedang ketika menuju kesatuan bangsa Malaysia dengan slogan Satu Malaysia. Tapi, saya merasakan perlu kita menjadi satu bangsa yang mengenal jati diri dan identiti diri serta membentuk bangsa dengan acuan kita sendiri. Tanpa pengaruh dan pesona budaya luar.


Panjang pula perbincangan ini, maka saya mahu ringkaskan di sini agar setiap mahasiswa-mahasiswa baru mencari jati diri. Pencarian ini bukannya satu yang mudah, kadang-kala anda akan ketinggalan dan tersisih kerana pantasnya manusia terutamnya remaja dalam meneroka budaya-budaya baru dari luar. Namun, teguhlah anda dalam merempuh gelombang kejutan budaya.


Pesan saya, universiti adalah pentas di mana anda bakal membentuk diri anda sendiri dengan cara anda sendiri. Anda bebas memberi ruang dan peluang. Gunakan setiap ruang dan peluang itu sebaiknya dengan pertimbangan ilmu, iman dan amal. Carilah teman yang teguh dan kukuh jati diri dan lebih baik lagi hiduplah dalam jemaah agar anda akan sentiasa diingati dan saling tegur-menegur atas apa jua situasi.


Akhir kata, selamat menempuh alam universiti yang manis dan indah namun penuh onak duri cabaran. Selamat Berjaya!




Wednesday, July 1, 2009

Pergi



Hari ini berkali-kali saya ditangkap rasa terharu dan sebak. Sungguh saya memang cengeng orangnya. Mudah menitiskan air mata dan sedikit emosi.


Awal pagi saya bangun ketika kawasan kolej masih sepi. Sungguh saya seorang yang serius dan komited dalam melaksanakan tugasan. Namun seringkali terlalu lemah menghadapi tekanan dan tewas sebelum berakhir. Walaubagaimanapun, saya senang hari ini, melaksanakan tugasan tanpa berdepan dengan karenah manusia yang merimaskan.


Lebih kurang pukul lapan setengah pagi, kami bertolak ke Kuala Selangor. Tujuannya untuk menziarahi sahabat kami yang baru kehilangan abangnya akibat serangan kuman pada paru-paru.


Membayangkan diri berada di tempatnya aku terpaksa menahan selalu rasa sebak. Kematian itu pasti. Namun, sukar untuk menerima apatah lagi saat yang tidak dijangka. Saya mengutip pegajaran. Kematian penuh hikmah. Mengajar kita betapa singkat kehidupan dan dalam diam saya resah dan bimbang mengenang duri dosa yang melingkar kehidupan. Saat ini, saya hanya mampu meminta agar Tuhan sempat memberi waktu agar saya bisa membersihkan diri.


Allah SWT berfirman: "Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam surga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan." (QS. Al-Imran:185).


Betapa saya diperdaya dan sayangnya biarpun dalam sedar saya seakan tak mahu keluar dari tipu daya dunia ini. Dunia yang sementara ini tidak saya manfaatkan sebaiknya. Saya sering terkenang Rabiatul Adawiyah, wanita sufi yang amat saya kagumi, bicaranya; ‘aku hairan melihat manusia yang masih tertidur lena sedang kita tahu kita akan berbaring lama’.

Monday, June 29, 2009

?????




Apa yang perlu saya lakukan? Sungguh, saya mencuba untuk berada dalam kelompok itu, mengenali dan memahami rencam serta karenah mereka. Namun ternyata, saya gagal. Saya tak menemui ketenangan, jauh sekali kemanisan dan keindahan.


Saya bukan mengharap yang mudah. Jauh sekali. Namun saya sendiri kurang mengerti situasi. Barangkali memang silap saya juga. Tergesa mengambil langkah ini sedang saya sedar natijah yang terpaksa saya lalui. Jelas sekali saya tidak sekuat mana merempuh gelombang yang ada.


Saya sudah terlalu rindu untuk kembali ke waktu lalu. Namun, separuh hati berbisik betapa waktu bergerak dan berubah. Sungguh, saya bukan mengkarung yang begitu mudah merubah diri mengikut persekitaran. Tegar, itulah saya. Hingga kadang-kala saya khilaf dalah kedegilan itu.


Saya mencari jalan keluar. Menangis sendiri agar Tuhan ingin membantu. Namun hakikatnya saya sendiri lemah sekali. Mujahadah yang masih terketar.


Apa yang perlu saya lakukan? Terus berpura dalam dunia yang meresahkan ini? Atau hanya menanti hadir bantuan Ilahi? Saya buntu sekali. Apa yang pasti ku ingin sekali terbang tinggi mencari laluan ke syurga firdausi. Oh, tunjukilah daku!