Pages

Wednesday, August 27, 2008

Jiwa tenang menanti ramadhan

Ramadhan semakin hampir menjelma. Sungguh saya sudah tidak sabar untuk menjalaninya. Saya sudah mula berangan-angan untuk berqiamullail, bertadarus Al-Quran, iftar dan sebagainya. Saya berdoa saya dapat terus istiqamah sepanjang bulan yang penuh berkat ini.

Dalam persediaan untuk Ramadhan, Tuhan anugerahkan ketenangan dalam hati saya dengan rasa cinta dan rindu yang begitu mendalam kepadaNya. Sungguh, saya sudah mampu untuk melupakan segala permasalahan yang membelenggu jiwa dan pemikiran saya sebelum ini. Alhamdulillah.

Ditambah pula denga beberapa tugasan seperti menyiapkan buletin ramadhan, usrah serta sebagainya. Saya merasakan hidup saya benar-benar bermakna. Memang tiada tempat bergantung selain Tuhan, maka berhaentilah berasa sedih dan kecewa, dan yakinlah Allah ada bersama-sama kita....

Thursday, August 14, 2008

Sibukkan diri...

Semalam ana sempat menghadirkan diri ke ceramah yang bertajuk 'Adakah dakwah itu satu kewajipan' yang disampaikan oleh Brother Lim Jooi Soon. Menarik sekali. Bro Lim menjelaskan tentang adab-adab berdakwah kepada masyarakat bukan Islam, kepentingannya dan sebab-sebab ia tidak dilaksanakan.


Apa yang paling menyedarkan ana ialah masih banyak lagi urusan perjuangan Islam yang perlu di fikirkan. Ana rasa ana sudah rehat terlalu lama untuk meneladeni masalah sendiri. Barangkali betul kata seorang sahabat, ana terlalu banyak memikirkan masalah-masalah ana yang remeh hingga memudaratkan diri sendiri.


Ana sewajarnya memperuntukkan masa dan tenaga untuk memikirkan tentang perjuangan Islam. Pesanan seorang sahabat, 'sibukkanlah dirimu dengan kebaikan supaya kamu tidak disibukkan dengan kemaksiatan.' Ana patut kembali menyibukkan diri dan pemikiran. Soal-soal rumit dan penting tentang ummah dan Islam perlu ana kembali perhalusi dan diskusikan. Ana perlu membuang pemikiran-pemikiran ke arah perkara remeh yang kurang penting.


Ana sedar ana sendiri tidaklah terlalu baik untuk mengajak orang ke arah kebaikan. Tapi ana sedar, jika setiap orang perlu jadi baik dahulu untuk menyeru kepada kebaikan, tiada orang yang akan melakukan kerja dakwah dan islah. Kerana hakikatnya tiada manusia yang benar-benar maksum di dunia ini....

Wednesday, August 13, 2008

Tarbiyah Dzatiyah

Sabtu lalu ana berkesempatan menghadiri Kursus Penghayatan dan Kefahaman Islam di UKM. Dalam kesibukan mengulangkaji untuk ujian satu, alhamdulillah Allah masih mengurniakan sedikit ruang dan waktu untuk ana menghadiri program yang dapat mengukuhkan HATI DAN JIWA.

Sebelum ke program ana sudah berjanji untuk menghadiri usrah dengan kak soleh selepas subuh. Waktu memang begitu menghimpit. Ditambah lagi dengan subjek-subjek yang belum habis diulang. Namun, kesibukan in menjadikan hidup ana bermakna. Hidup dengan taklif adalah hidup yang penuh nikmat.

Niat ana menghadiri program ini cuma satu; mencari ketenangan dan mendekati Tuhan. Seribu satu urusan harian yang membelenggu pemikiran ingin ana lupakan sebentar. Ana mahu kembali muhasabah diri, apakah makna hidup yang hakiki. Sungguh, itulah yang ana perolehi. Benarlah, setiap apa yang kita peroleh itu adalah apa yang kita niatkan.

Namun, ada satu istilah yang menarik perhatian ana yang ana peroehi dari pembentangan salah satu kumpulan yang ingin ana kongsikan di sini. Tarbiyah dzatiyah. Bimbingan dalaman. Kadang-kadang secara fizikalnya kita sudah lalui banyak program, tarbiyah dan tazkiyah, namun anehnya, hati kita masih sakit. Bak kata Mak Cik Idah dalam kuliah 2, masih ada saki baki jahiliah dalam diri. Barangkali kita hanya menjalani tarbiyah luaran dan mengabaikan tarbiyah dalaman.

Kata pembentang, selain mengikut program tarbiyah yang diatur sahabat dan sahibbah untuk kita, kita perlu juga mengatur program tarbiyah untuk diri kita sendiri. Supaya dengan itu tarbiyah yang kita jalani lebih konsisten dan ikhlas, malah lebih membina dan menyentuh hati. Astaghfirullah, ana rasa ana kurang sekali melaksanakan tarbiyah dzatiyah ini, ya, muhasabah diri. itu penting sekali, agar kita sentiasa menyedari dosa yang telah dilakukan, merasa kesal dan benar-benar bertaubat untuk tidak mengulanginya. Selain itu peruntukan waktu untuk ibadah-ibadah sunat, datang ke surau atau masjid untuk berjemaah dan berzikir dalm setiap urusan. Bagi ana, program tarbiyah ini juga penting disediakan masterplan serta laporan sekaligus. Supaya perlaksanaan lebih istiqamah dan sistematik.

Sungguh semua itu perlu kekuatan. Ana sendiri akui sukar sekali untuk mentarbiyah diri bila bersendiri. Namun, itulah kehidupan. Perlu perjuangan yang berterusan. ada satu kata-kata yang ingin ana kongsikan di sini;
'bila kamu tak mampu bangun di malam hari dan tak mampu berpuasa di siang hari, ketahuilah bahawa kamu sedang di belenggu oleh dosa-dosa kamu'
Astaghfirullah, barangkali itu penyebabnya. Dosa yang bertumpuk dalam diri menyukarkan untuk konsisten mentarbiyah diri.

Maka taubatlah yang perlu kita jalani. Tazkiyah dan membersihkan diri. Moga-moga nikmat beribadah itu mampu kita kecapi...sama-sama islah diri....

Friday, August 8, 2008

Ujian

Minggu-minggu ujian....kadang-kadang ujian itu begitu berat untuk ditanggung. Ingin rasanya putus asa dan melarikan diri. Tapi itulah kehidupan, perlukan keberanian untuk menghadapinya.

Aku melalui waktu-waktu yang sukar dalam beberapa bulan kebelakangan ini. Namun dalam kesukaran itu aku sedar ada lebih banya kebaikan yang aku lalui. Cuma kadang-kadang perkara yang baik itu tidak disedari, dan yang buruk itu lebih banyak diambil peduli.

Setiap ujian itu juga bagaikan nikmat. Begitu indah andai dihayati hikmahnya. Aku sedar betapa diri ini banyak berdosa dan lalai dalam melalui arus kehidupan yang fana. Melalui ujian aku ditegur Tuhan, aku perlu kembali kepadaNya. Meneguhkan cinta dan bergantung harap hanya padaNya. Kerana ujian biasanya menjadikan kita seakan sendirian saja, sungguh tanpa kekuatan dan pertolongan Tuhan, aku tersangat lemah.

Kadan-kadang memang aneh aturan Tuhan ini, Dia mendidik tanpa kita sedari. Dan didikanNya begitu berkesan dihati. Ah, sukar sekali untuk aku menjelaskan di sini. Ia bagai satu pengalaman rohani bagi sesiapa yang melalui. Apa yang pasti ujian itu anugerah, supaya kita sentiasa mengingati Tuhan dan mengharap padaNya dalam setiap keadaan.

Ujian juga kasih sayang dari Tuhan. Dia cemburu bila kita jarang-jarang mengingatiNya. Maka diberikan ujian, agar kita kembali mendekatiNya. Oh, Tuhan, betapa ku rasa cintaMu begitu kuat dalam hatiku! Teguhlah di situ dan jangan tinggalkan aku sendiri.

Tuesday, August 5, 2008

Kembali kepada Tuhan

Sedar antara tidak rejab sudah berakhir dan syaaban menjelma datang. Ah, ramadhan sudah semakin hampir! Bulan ibadah itu perlu persediaan agar masa 30 hari itu tidak disia-siakan begitu saja.

Aku terkenang ramadhan yang lalu, bermulanya usrah kali pertama. Permulaannya juga aku mengenal fikrah Islam yang sebenar. Permulaan sebuah perkenalan dan perjuangan. Ya, aku sudah banyak berubah. Dalam tempoh setahun ini pelbagai perkara yang dapat aku hayati dan ambil iktibar.

Kehidupan memang perlu perubahan. Setiap halangan yang datang perlu ditranformasi kepada peluang. Perubahan juga perlu kekuatan. Juga pendirian yang tetap.

Aku masih teringat ketika aku mula-mula memamsuki UPM. Aku lupa. Percutiaan lebih separuh tahun menjadikan aku alpa pada hakikat dan pendirian hidup yang sebenar. Sungguh, aku benar-benar hanyut.

Tapi Tuhan begitu sayangkan aku. Dia anugerahkan aku insan-insan yang membawa aku kembali ke tebing. Kak Soleh, Amnani dan Kak Siti. Mereka bertiga datang dari penjuru yang berbeza, tapi menanamkan benih yang sama. Kembali kepada Tuhan. Sungguh, aku benar-benar merasai kasih-sayang Tuhan saat itu. Aku tersedar betapa aku dalam kelalaian.

Aku mulai berubah. Perlahan-lahan, satu-persatu. Tapi kadang-kala agak drastik juga. Hingga satu ketika pada semester lepas aku diuji dengan ujian 'futur'. Ya, saat itu aku mengenali 'dia'. Aku sedar itu salah. Sejak awal lagi aku menyedarinya. Tapi aku terlalu lemah untuk melawan hasutan syaitan, juga terlalu degil untuk teguh di jalan Tuhan. Suasana yang dibawa teman-teman turut sama mempengaruhiku.

Aku memaksa diri, tanpa rela untuk terus dalam perjuangan Islam. Aku takut kehilangan cinta Tuhan, tapi aku terus berkeras dalam kemaksiatan dan kemalasan. Ah, memang aku berjuang...tapi dengan separuh hati.

Kemudian cuti antara semester bermula, seribu satu peristiwa berlaku. Pastinya, aku rindu pada usrah selama tempoh lebih 2 bulan itu. Namun, aku masih tidak dapat melepaskan diri dari 'dia'.

Sepanjang cuti dan bulan pertama semester ini aku diuji pelbagai sudut. Sungguh, aku rasa tak punya sesiapa selain Tuhan...sungguh, aku baru tersedar cinta Tuhan yang agung. Aku sanggup kehilangan segalanya tapi tidak Tuhan dari hatiku. Benarlah betapa setiap ujian itu menifestasi cinta Tuhan kepada kita, kerana melaluinya iman semakin kuat dan teguh.

Hingga aku merasa redha pada segalanya. Hingga aku juga rela melepaskannya. Teringat bicara seorang teman, jodoh sudah ditentukan Tuhan, jika bukan jodoh kita, dikejar ke hujung dunia pun tetap tak mungkin dapat dimiliki. Maka nantilah jodoh ketentuan Tuhan. Ya, aku cuma percayakan Tuhan soal ini. Aku sendiri tak percaya pada pilihan diri kerana aku selalu silap dalam memilih.

Itulah kehidupan, ia adalah tempoh yang mendewasakan. Setiap kesilapan dan masalah adalah jalan menuju Tuhan. Jangan sesekali melarikan diri. Kembalilah kepada Tuhan biar bagaimana situasi dirimu saat ini. Kerana Tuhan sentiasa menanti kehadiranmu.....

Friday, August 1, 2008

Kematian

Akhirnya, aku dapat juga meluangkan masa untuk menulis entri ini. Sudah sebulan semester di buka, hendak katakan sibuk, tidak juga, cuma kadang-kadang masa begitu pantas berlalu. Itulah kata Imam Ghazali, yang paling jauh dari kita adalah masa yang telah berlalu dan yang paling hampir adalh kematian. Ah, bercerita soal kematian, sejak akhir-akhir ini aku selalu terfikir, andai aku mati esok......

Jarang bukan bercerita tentang kematian. Kadang-kadang terasa mustahil untuk mati. Iyalah, masih muda remaja. Tapi benarlah, adakala kelapa muda juga ada yang berguguran. Kematian itu akan datang tanpa disedari. Hingga itu aku jadi terfikir, jika aku mati esok.......

Apa guna lagi impian dan cita-cita yang selama ini ku semai untuk jadikan realiti, apa guna lagi pakaian2 dan perhiasan yang kubeli untuk dipakai, apa guna lagi wang yang ku cari dan ku simpan, apa guna lagi janji2 yang terpatri...ah, sudah tak bererti... bila kematian sudah tiba...

Aku baru merencana impian, membina harapan dan melakar cita-cita, aku diserbu ragu, bimbang, resah juga andai semua itu tidak tercapai. Pasti aku akan kecewa, terluka dan kesal juga. Tapi bila kematian sudah menjelma, semua perasaan itu bukan lagi satu kepentingan.

Maka perlukah untuk aku putus asa. Tunduk bungkam menghadapi mati. Ah, bila pula kematian itu akan hadir.....

Aku perlu bermimpi, merencana masa depan seakan kematian tak mungkin datang. Namun, aku juga perlu berhenti dan bermuhasabah dalam diri, semua ini tidak pasti, kerana kematian akan hadir. Maka hadis ini akan jadi sangat bererti; Berkerjalah kamu seperti kamu akan hidup selama-lamanya dan beribadahlah kamu seperti kamu akan mati esok hari.

Barangkali esok kita akan mati, maka pastikan tiada ibadah fardhu yang tertinggal dan ibadah sunnah jadikan amalan. Barangkali kehidupan masih panjang, maka teruskan memburu impian dan jadikan cita-citamu kenyataan......

Wednesday, July 30, 2008

my thought...

Love... I thought I ve fall in love.. but,its wrong.. i just have been trapped in feeling... Sometimes, I felt regret by knowing him.. if could, I want to turn back the time and never start the friendship... but, it was happened.. no turning back now.. I should look forward and thinking of new life... I will never blame anyone.. neither him nor me,myself.. I took all this as fate.. as trial that Allah give to me.. yeah, to increase my faith... to increase my love to Him..

I really thought I am in love... I ve started to think about dream and future.. but I admit.. I still feel guilty.. I talked to my friends.. I knew, how guilty I am... But, it is not easy to stop, to forget.. but, it is not me to put off... I will try.. I will make it... because I truly realize.. my love only one.. that is Allah...

Thursday, July 17, 2008

Kisah Sebuah Pertemuan

"Kisah cinta yang hebat bukan?" spontan aku berpaling ke sisi kanan. Air mata yang bertakung di kelopak mata mulai mengering. Aku memang begitu, mudah mengalirkan air mata. Lebih-lebih lagi bila menonton cerita hindustan yang penuh konflik dan mainan perasaan.

Suasana gelap pawagam mulai diterangi cahaya-cahaya lampu yang malap. Wajah yang masih setia menghadap skrin yang tidak bergambar itu segera ku kenali. Aku seakan bermimpi. Sukar untuk mempercayai lelaki itu ada di depan mataku kini.

"Adam!" aku hampir terjerit. Aku sama sekali tidak menyangka pertemuan sebegini. Lelaki itu berpaling, menghadiahkan senyuman buatku. Senyuman yang sudah sekian waktu hilang dari hidupku.

"Ya, Adam Haikal. Lama tak jumpa Natasya," Adam membalas selamba. Aku tersenyum senang dengan tingkahnya itu. Dia masih Adam yang dulu, berlagak seakan-akan tiada apa berlaku. Sedang hatiku bergolak seribu rasa.

Para penonton sudah hampir keluar semuanya. Aku menggeleng-geleng kepala sendiri cuba untuk menghadapi kenyataan pertemuan ini. Tanpa terus bicara aku bangun untuk turut meninggalkan ruangan itu. Aku sedar Adam mengekori ku rapat.

"Awak masih tak berubah Natasya," aku berpaling memandangnya. Langkah kami beriringan di dalam pusat membeli-belah itu.

"Awak juga," aku menjawab pendek. Adam tertawa, aku menjeling, kurang senang dengan tingkahnya.

"Apa awak buat di sini? Rasanya pengajian awak di India masih belum tamat. Awak bercuti?" segera aku lontarkan soalan yang menerjah fikiranku sejak awal pertemuan lagi.

Untuk beberapa lama dia membisu. Aku berpaling sekali lagi. Dia masih melangkah sambil memandang-mandang kelililing. Aku tersenyum sendiri. Belum pun empat tahun dia pergi, perubahan di Malaysia sudah begitu menarik perhatiannya.

"Saya rasa 'shopping complex' ni tiada perubahan drastik sangat, Adam," aku segera mengeluarkan kenyataan untuk menyindirnya. Tapi seakannya dia terlalu asyik dalam pemerhatian.

"Awak cari siapa Adam?" aku bertanya keras, sedikit meninggikan suara. Akhirnya dia berpaling memandangku. Aku merenungnya dengan penuh tanda tanya.

"Err..maaf. Awak tanya saya bercuti kan, saya memang bercuti pun," dia tersenyum tapi aku seakan dapat menghidu ada sesuatu yang diselindungkan dari riak wajahnya itu. Aku mengangguk-angguk sendirian sambil terus melangkah. Pedulikan, bukan ada kaitan denganku. Aku berbicara sendiri.

"Saya tak sangka gadis seperti awak menonton kisah seperti itu," dia pula mengeluarkan kenyataan yang membuatku berpaling ke arahnya dengan kerutan di wajah. Aku seakan kurang mengerti.

"Kisah cinta, cerita hindustan pula. Sudahlah menangis sampai kering air mata," dia tersenyum menyindir. Aku tersenyum juga. Sungguh memalukan. Nak buat macam mana kalau dah nak nangis. Aku merungut dalam diri.

Kisah cinta. Aku memang penggemarnya. Namun hakikatnya, aku masih meragui falsafah cinta itu sendiri. Barangkali ia hanya indah ditonton tapi untuk melaluinya ia tidak seindah mana. Barangkali kerana keindahan cinta itu sering disalah ertikan. Seperti kecantikan wanita yang dieksploitasi untuk melakukan barang jualan, begitulah cinta dipersendakan oleh seribu satu falsafah yang dicipta manusia yang hilang pertimbangan dan akal yang waras. Sangkanya kerana cinta yang suci, hakikinya kerana nafsu yang menjajahi.

Bagiku, tiada cinta yang lebih murah andai seisi dunia mahu ditinggalkan demi mengejar seorang insan. Tiada apa yang bernilai, andai budaya dan tradisi rela digadai kerana cinta yang ingin dibeli. Malah apakah yang murni, andai agama turut menjadi taruhan pada cinta yang belum pun pasti sejati.

Tapi itulah falsafah cinta ala hindustan, yang membuai jiwa dan raga. Tapi sayang, mengetepikan nilai-nilai manusiawi yang hakiki. Cinta adalah pusat kehidupan. Malahan ada setengahnya mengangkat cinta melebihi Tuhan. Aku beristighfar dalam hati, andai muda-mudi tidak bisa menilai jarum kesyirikan yang cuba disuntik melalui filem-filem sebegitu, mereka akan terlempar jauh dalam jurang kesesatan yang kelihatan indah, seperti indahnya cinta.

"Natasya," suara Adam kembali membawa diriku ke ruang pusat membeli-belah itu. Kelihatan manusia berada di setiap penjuru. Aku berpaling menghadap Adam. Senyuman tawar ku ukir buat lelaki itu.

"Kisah cinta yang indah, namun falsafahnya masih salah," aku bersuara perlahan, tapi yakin jelas di pendengaran lelaki itu.

"Tentu bagimu, engkau kan gadis yang tak percaya pada cinta," Adam membalas, seakan menyindirku tajam. Aku berhenti melangkah, Adam juga turut terhenti.

"Cinta yang dikatakan mengatasi kuasa Tuhan, itu yang kau anggap benar?" aku memandang tepat ke arahnya. Sengaja nada suara ku tekan menyatakan maksud yang ingin kusampaikan.

"Mereka cuma mahu memiliki cinta, Natasya. Salahkah untuk berjuang merebut milik kita? Awak terlalu emosional, hingga sukar menangkap makna cinta sebenar. Awak patut bercinta dan merasainya!" Adam membalas bicaraku. Agak keras juga tutur katanya.

"Semudah itu untuk memahami makna cinta? Tarikan pada pandangan pertama? Hingga mematikan impian dan cita-cita, serta harapan ibu bapa. Alasannya, inilah kuasa cinta. Awak tahu apa pandangan saya tentang filem sebegitu?" pandangan ku masih tepat memandang lelaki itu. Malah mataku mulai berkaca-kaca menahan rasa.

"Apa pandangan awak?" dia bertanya perlahan, mungkin mulai sedar gejolak emosi yang bermain dalam perasaanku. Barangkali dia tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan.

"Manusia menggunakan kebijaksanaan dalam mengadun jalan cerita, seni lakonan, serta teknik penggambaran yang dikurniakan Tuhan untuk melawan Tuhan. Adam, filem sebegitu bakal merosakkan anak-anak bangsa kita. Pemikiran mereka akan diterapkan dengan ada kuasa hebat dalam diri masing-masing yang boleh mengatasi kuasa Tuhan, dan kuasa itu dikatakan cinta. Adam, cinta itu kurniaan Tuhan, begitu juga akal fikiran, sewajarnya ia digunakan untuk pengabdian kepada-Nya," aku bernada tegas mengeluarkan kata-kata. Kami masih seperti dulu, seperti waktu di bangku sekolah. Aku sendiri tidak mengerti, sama ada aku yang terlalu obses dengan pendapatku, atau dia yang selalu tidak sehaluan denganku.

"Itulah alasannya, cinta kepada Tuhan. Alasan yang awak berikan untuk menolak cinta saya. Alasan yang cukup kuat untuk saya mengerti bukan?" Adam berbicara serius. Aku terpempan dan tunduk menekur lantai. Ah, memang ada tragedi dalam persahabatan kami. Sebuah cinta yang tidak berbalas. Adam, andai kau mengerti hati ini!

"Kenapa diam Natasya? Apa hujahmu? Kalau hidup dengan hanya cinta pada Tuhan tanpa mempedulikan perkara lain, mengapa Islam menganjurkan pernikahan? Mengapa perlunya perkenalan? Mengapa ramai pasangan yang berkenalan, bercinta dan mendirikan rumah tangga? Natasya, cinta memang kurniaan Tuhan, tapi ia perlu dikongsi seluruh alam. Bukan hanya milik awak seorang," Adam mengambil giliran meluah kata-kata. Aku pula masih membisu mecari ungkapan yang harus dilafazkan. Perlahan, aku mengangkat wajah. Air mataku sudah mengalir membasahi pipi. Segera ku kukesat dengan jemari sendiri. Adam disapa kaget dengan tingkahku.

“Adam, saya tak pernah berkata saya tak percaya pada cinta. Tapi saya percaya bukan mudah untuk bercinta. Saya gadis yang penuh impian, saya tak sanggup kehilangan cita-cita demi cinta. Adam, saya pernah kata dulu, jodoh pertemuan di tangan-Nya. Siapa sangka kita bertemu di sini? Kalau dulu, awak berjanji untuk setia dan saya percaya, apa akan berlaku andai hakikatnya berbeza? Adam, antara kita akan ada yang terluka. Jarak dan masa terlalu jauh memisahkan kita. Tapi kini, awak ada di depan saya sekarang. Adam, takdir terletak dalam genggaman-Nya. Kita hanya merancang, malah tanpa perancangan, Tuhan menentukan pertemuan ini. Awak tak terfikir, Tuhan turut merancang segala-galanya?” aku menjelaskan penuh harapan. Namun riak muka Adam menggambarkan kekagetan.

“Abang....” kami berpaling hampir serentak. Seorang gadis berbaju kurung hijau pucuk pisang dengan selendang warna sedondon menghampiri. Tangannya membimbit beberapa bungkusan barang. Dia mendekati Adam dan menghulur senyuman manis kepada ku. Teragak-agak, aku turut mengukir senyuman.

“Kawan abang?” dia bertanya pada Adam namun jelas pada pendengaranku. Adam masih membisu. Aku dapat rasakan gadis itu seakan kurang selesa dengan situasi begitu.

“Saya Natasya, kami satu sekolah dulu,” aku menghulur tangan dan memulakan perkenalan. Keadaan kurang selesa itu mesti dirungkai segera dan aku memang mahu sekali mengetahui tentang gadis itu.

“Aina Maisarah” dia menjawab sambil menyambut huluran salam ku. Aku menjeling Adam, memberi isyarat meminta penjelasan lebih daripadanya. Aina Maisarah memandang Adam sekilas sebelum kembali tersenyum padaku.

“Dia masih mengaku bujang? Kami dah setahun berkahwin,” dia berbicara tenang sambil tersenyum nakal kepada Adam. Adam memandang ke arahnya sebelum beralih memandang aku. Ada rasa bersalah dalam pandangannya itu. Aku cuma tersenyum, mengerti kini perancangan Tuhan untukku.

“Tidaklah, dia ada kata dia sudah berkahwin. Cuma tak sangka isterinya secantik awak. Bakal doktor juga?” sengaja aku memeriahkan perbualan tanpa mengambil berat reaksi Adam.

“Ya, kami sama belajar. Insya Allah, tahun depan kami tamat,” Aina Maisarah menjawab mesra. Sambil sesekali menjeling Adam yang masih berdiam diri memerhati kami saling berkenalan.

“Baiklah Natasya, kami pergi dulu. Ada barang lagi yang perlu di beli,” belum sempat aku meneruskan bicara, Adam lebih dahulu mendahului. Aku tersenyum memandang Adam yang keruh wajahnya. Entah apa yang bergalang dalam fikirannya saat ini.

“ Oh ya, saya pun ada hal lepas ni. Gembira bertemu awak Aina, awak juga Adam,” sekali lagi aku bersalaman dengan Aina Maisarah. Aku tersenyum silih berganti kepada mereka.

“Gembira juga bertemu awak Natasya,” Aina Maisarah berbicara dengan senyuman yang indah.

Kami berpisah. Aku melangkah perlahan dan semakin pantas.


Tren komuter bergerak perlahan. Penumpang tidak terlalu ramai. Tapi tempat duduk penuh. Sepasang remaja yang ku kira masih di bangku sekolah kelihatan begitu intim sekali berpegangan tangan. Aku merasa jelik dan terus mengalihkan pandangan.

Kelihatan seorang wanita lebih separuh abad yang duduk dan seorang lelaki seusia berdiri di sisi. Aku kesal tiada penumpang yang sanggup berdiri dan mempersilakan lelaki yang bergelar datuk itu duduk. Namun, aku jadi terpesona seketika melihat pasangan separuh abad itu. Aku tak tahu bila cinta mereka bermula, tapi yang pasti cinta itu kekal ke usia emas. Barangkali Adam benar, Tuhan anugerahkan cinta agar kita dapat berkongsi, bersama dan saling bergantung antara satu sama lain.

Tapi aku juga ada benarnya, aku memandang kembali pasangan bawah umur yang mencemar pemandangan itu. Cinta bukan satu permainan janji. Tapi ia intisari sebuah ikatan suci. Aku tak mahu menjadi penoda kesucian itu. Adam Haikal bukan jodoh yang dirancang Tuhan untukku. Itulah kepastian yang ku peroleh dari aturan takdir Tuhan hari ini.

Kisah Takdir,
Amal Mina
1.54 am
14/07/2008