
| Oleh : Jimadie Shah Othman |
Lama saya berdepan skrin komputer riba. Memang saya tidak tahu apa yang patut dilakukan. Mahu menyiapkan tugasan subjek Lukisan Kejuruteraan masih tiada software Autodesk Inventor yang digunakan. Maka saya pun menyelak-nyelak laman facebook. Tiada apa yang menarik di hati hingga kepada satu laman seorang sahabat.
Semalam kami baru bertemu. Walau dalam tawa tapi dia serius berbicara dia telah jatuh cinta. Saya terkejut. Ya, tidak sewajarnya saya begitu. Untuk jatuh cinta,sesiapa jua tidak berdaya untuk menolaknya.
Ia buat saya terkenang semua ‘kisah cinta’ saya. Seakan banyak pula kedengarannya =). Namun, bagi saya rasa jatuh cinta memang satu pengalaman, indah namun terselit seribu satu resah. Dan berkali-kali jika boleh diulang masa, saya tidak mahu untuk jatuh cinta.
Dahulu, ketika masih di bangku sekolah dan tahun-tahun awal di alam kampus, cerita cinta seringkali menarik hati dan perasaan. Namun, bila usia makin meningkat dan barangkali pengalaman makin bertambah ia tidak lagi begitu mengusik jiwa. Malah seakan begitu sukar untuk begitu mudah jatuh cinta. Dan berbicara tentangnya tidak lagi begitu menawan jiwa.
Namun bila seorang sahabat baik mengungkap begitu, hati saya sedikit terusik. Apatahlagi pada cinta pandang pertama. Ia seakan kisah drama Romeo dan Juliet lagaknya. Jujurnya saya tidak percaya namun jauh di sudut hati saya sedar ia bukan mustahil.
Ia buat saya jauh terkenang. Betapa saya pernah merasa sakit dan derita kerana cinta. Berada dalam persimpangan dan dilema. Sungguh cinta berkait rapat dengan masa, saat masanya tiba kita tidak mampu menghapus gelora dalam dada namun musim tengkujuh pasti jua berlalu dan kita perlu sedar untuk tidak berdegil menempuh badai besar sebelum masa. Ini kerana cinta adalah persoalan masa, bila masa berlalu kisah cinta akan menjadi kenangan dan hari-hari biasa yang berlalu. Jika kita berkeras menyahut cabaran sang badai, bimbang kita tak mampu meraih kembali ke tepian dan hanyut di tengah lautan. Maka itulah cinta yang menyelubungi kita.
Saya sedar untuk jatuh cinta ia tidak perlu sebarang amaran. Ia bisa berlaku secara tiba-tiba diluar kesedaran. Malah untuk saya menghadapinya bila-bila masa ada kemungkinan. Namun untuk tersilap langkah dalam hangatnya bara cinta adalah satu kebodohan. Allah menganugerahi akal dan iman, jika kejahilan juga yang menjadi panduan, kita benar-benar tergolong dalam kalangan yang tidak reti untuk mensyukuri nikmat Tuhan.
Ya, adakala saya rindu dengan perasaan jatuh cinta. Namun saya hangatkan hati saya dengan janji Tuhan betapa ada cinta untuk saya.
KOTA KINABALU 10 Jan. – Akhbar Herald-The Catholic Weekly perlu bersedia menggugurkan kes tuntutan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam di mahkamah berikutan perkembangan yang semakin membimbangkan hingga mengakibatkan beberapa gereja dibakar.
Presiden Majlis Jaksa Pendamai Malaysia, Datuk Clarence Bongkos Malakun berkata, langkah tersebut perlu untuk keamanan dan kestabilan rakyat berbilang kaum di negara ini.
‘‘Sudah tiba masanya kita, masyarakat Kristian khususnya Katholik membuat penilaian kepada keadaan sekarang demi keselamatan dan ketenteraman awam supaya dengan senang hati menggugurkan perkataan Allah untuk menenangkan saudara Islam kita.
‘‘Daripada terus mendesak hak untuk menggunakan perkataan Allah adalah lebih baik jika Katholik hanya menggunakan perkataan ‘Tuhan’ atau ‘Tuhan Yang Maha Kuasa’.
‘‘Biarlah saudara Islam kita sahaja yang menggunakan perkataan Allah untuk kebajikan supaya kita dapat hidup aman damai dan harmoni di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kelmarin, dua gereja – satu di Desa Melawati, Kuala Lumpur dan satu lagi di Jalan Templer, Petaling Jaya – mengalami kebakaran manakala satu lagi juga di Petaling Jaya menerima ugutan.
Kejadian itu mendapat kecaman daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang selain turut mengundang reaksi serupa dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang melawat gereja di Desa Melawati, semalam, mengumumkan peruntukan RM500,000 untuk membolehkan pentadbiran gereja itu membuka rumah ibadat baru di kawasan lain.
Sementara itu Clarence berkata, alasan sesetengah pemimpin Kristian bahawa kalimah Allah perlu dibenarkan hanya kerana ia sudah digunakan sejak sekian lama adalah tidak wajar.
Tegas beliau, Kristian di negara ini juga tidak sama seperti diamalkan di Indonesia, Mesir, Iraq atau Yemen kerana Malaysia mempunyai perlembagaan yang berbeza.
‘‘Tidak harus bagi kita mempertikai yang Allah biasa digunakan oleh masyarakat Kristian di negara luar kerana kita berada di Malaysia, jadi kita harus patuhi semua undang-undang dan peraturan.
‘‘Adakah kalau kita atau pihak gereja tidak gunakan perkataan Allah maka secara tiba-tiba para pengikut agama Kristian akan bertambah atau berkurang 10 kali ganda,” soalnya.
Beliau sedar ramai penganut Kristian akan mengkritik pendiriannya tetapi mereka perlu faham dan menghayati ajaran agama itu yang menyuruh pengikutnya memaafkan orang lain.
“Jika kita benar-benar Kristian, kita harus jadi orang yang memaafkan, bertanggungjawab dan cintakan keamanan. Kenapa kita harus bergaduh untuk satu perkataan,” ujarnya.
Clarence yang juga Pengerusi Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah berkata, umat Kristian perlu faham mengapa orang Islam amat marah apabila kalimah itu dibenarkan penggunaannya.
Jelasnya, Allah adalah Tuhan bagi orang Islam manakala orang-orang Kristian pula lain kepercayaannya dan kalimah itu juga sudah lama digunakan secara tradisinya oleh agama Islam.
sumber di sini
Tahun 2010 dibuka dengan satu lagi isu antara kaum. Kali ini ia melibatkan agama, pertembungan antara kaum dan agama dalam sebuah negara 1Malaysia ini pastinya mustahil untuk tidak berlaku. Ya, kepelbagaian yang wajar untuk kita raikan bersama. Bukankah Allah menciptakan kita dari kalangan lelaki dan perempuan serta berpuak-puak agar kita boleh berkenal-kenalan? Sesungguhnya setiap kejadian Allah itu ada hikmahnya tersendiri.
Isu ‘Allah’ yang mahu digunakan dalam penulisan sebuah akhbar Kristian pastinya menimbulkan tanda tanya. Ya, memang tidak salah untuk megungkapkan Allah sebagai Tuhan. Malah Allah adalah satu-satunya Tuhan yang perlu diiktiraf oleh setiap makhluk. Namun, mengapa Kristian mahu menggunakan Allah sedangkan di dalam Bible perkataan Allah sama sekali tidak pernah disebut. Jika sekadar mahu menterjemahkan istilah ‘God’ dalam bahasa Inggeris itu, apa salah menggunakan perkataan ‘Tuhan’? Saya tertanya-tanya mengapa mereka begitu beria-ia hingga membawa isu ini ke mahkamah? Mengapa ya?
Ramai yang membantah, tak kurang juga yang menyokong. Bagi saya, saya menyokong kebenaran dan setiap yang membawa manfaat kepada agama Islam. Jika Kristian menggunakan istilah Allah dapat memberikan peluang untuk dakwah Islam berkembang, pasti ianya sangat dialu-alukan. Namun jika sebaliknya? Saya tanpa segan-silu dan ragu-ragu untuk turut mengangkat sepanduk menyertai demonstrasi di depan mahkamah yang meluluskan penggunaan ini.
Ramai yang meminta ditunjukkan hukum larangan penggunaan nama Allah oleh orang bukan Islam. Ya, baik dalam Quran mahupun Hadis kita tidak akan menemuinya. Ini disebabkan Tuhan yang dirujuk dalam dua sumber rujukan utama kita ini meletakkan Tuhan hanyalah Allah. Namun, hukum dijatuhkan bukan secara terus pembacaan Quran dan Hadis ini tapi juga melalui penelitian pada maksud tersirat dan tersurat yang terdapat dalam dua sumber utama ini. Maka untuk golongan awam seperti kita, apakah kelayakan kita untuk menjatuhkan hukum? Maka mengambil penerangan dari pihak-pihak yang lebih pakar adalah satu keutamaan. (Di sebelah kanan atas blog ini adalah kenyataan yang dikeluarkan oleh Dr. Haron Din, kenyataan dari pihak IKIM di sini)
Ramainya membantah, segelintir menyokong dan secara peribadi saya juga merasa bimbang. Bimbang dengan gelombang pluralisme agama yang semakin bertiup kencang. Saya bimbang dalam usaha memberi kesamarataan dan hak kebebasan juga kita atas dasar melaksanakan tajdid agama tanpa percaturan dan pertimbangan ilmu dan akal telah menyumbang kepada galaknya gelombang ini. Ya, kita dengan niat mengharap mahu berkongsi pemahaman menyumbang pula ke arah pensyirikan. Saya bimbang jika semakin lama penggunaan ‘Allah’ yang digunakan secara meluas dalam agama bukan Islam menjadikan Islam dan agama-agama lain tiada lagi berbeza. Ya, bagaimana untuk agama itu berbeza bila Tuhannya serupa?
Saya tidak mahu Allah, Tuhan yang Esa yang saya imanni adalah sama dengan Tuhan Bapa yang ada dalam konsep Triniti. Allah adalah nama Tuhan orang Islam, jika anda begitu mahu Tuhan kamu bernama Allah, sila masuk ke agama Islam. Mengapa mahu menggunakan nama Tuhan orang Islam sebagai Tuhan anda? Bukan kami orang Islam tidak mahu berkongsi nama Tuhan namun kami punya tanggunggjawab sebagai hamba yang menyembah Tuhan Allah untuk memelihara keEsaan dan kemuliaan namaNya dari diseleweng dengan sewenang-wenangnya. Ya, saya tekankan sekali lagi, Islam sekali-kali tidak akan menerima konsep pluralisme agama. Memang setiap agama membawa kebaikan namun agama yang benar hanya Islam dan satu-satunya Tuhan dalam Islam hanya Allah.
Jadi saya mahu bertanya lagi, mengapa mahu ‘God’ diterjemahkan kepada ‘Allah’? Sedang seluruh seantero dunia tahu, Allah adalah Tuhan orang Islam. Jika kita membenarkan ‘Allah’ digunakan bukan Islam, apa bezanya Allah, Buddha, Brahman, Jesus dan lain-lain Tuhan?


